Monday, January 31, 2011

Jom Kutip derma

RM300 sehari kutip derma
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

ALOR GAJAH: Sekumpulan pelajar yang mendakwa dari sekolah agama di sebuah negeri di utara tanah air mendakwa mampu memperolehi pendapatan RM300 sehari setiap seorang dengan menjual cakera padat (CD) dan minyak untuk kecerdasan minda.

Pada masa sama, mereka turut menafikan dakwaan kegiatan berkenaan bukan meminta sedekah sebaliknya menjual barangan, sekali gus mengutip derma untuk mengisi tabung pelajaran sekolah agama terbabit.


Bagaimanapun, kegiatan terbabit dikatakan menimbulkan persepsi negatif di kalangan orang ramai berikutan dibimbangi pelajar berusia belasan tahun berkenaan dipergunakan individu tertentu demi mengaut keuntungan.

Metroplus yang melakukan penyamaran di dua lokasi berbeza, di sini, turut berpeluang untuk menemubual dua remaja perempuan bagi mengetahui modus operandi kegiatan mereka.


Gadis berusia 13 tahun yang enggan dikenali berkata, dia sudah membuat kerja berkenaan sejak tiga tahun lalu secara sukarela dan bukannya paksaan seperti didakwa, malah turut diberi tunjuk ajar cara-cara untuk melariskan jualan mereka.


Menurutnya, pada peringkat awal ibu bapanya agak keberatan untuk memberi kebenaran, namun kini mereka mulai faham selepas diterangkan tujuan sebenar dan merestui kerja amal kebajikan berkenaan biarpun terpaksa bersusah payah.


“Setiap seorang daripada kami mampu memperoleh jualan sehingga RM300 sehari dan mungkin lebih hasil daripada kutipan derma yang disumbangkan orang ramai dan setiap daerah di sesuatu negeri akan dibahagikan kepada sembilan sektor.


“Seorang remaja perempuan akan diletakkan di setiap sektor yang dipantau seorang warden untuk memerhatikan gerak geri mereka dari jauh menggunakan kenderaan agar aktiviti mereka berjalan dengan lancar.

“Kami menjual CD lagu dan beberapa jenis minyak ‘pintar’ untuk kecerdasan minda kanak-kanak serta dewasa pada harga RM20 setiap satu yang mana hasil jualan akan diserahkan kepada warden untuk dikumpulkan,” katanya.


Katanya, kebiasaannya aktiviti akan bermula dari jam 11 pagi hingga 10 malam yang mana sebelum itu mereka diberi taklimat dan dihantar ke lokasi ditetapkan.


Rakannya berusia 17 tahun ketika ditemui pula berkata, mereka melakukan kegiatan berkenaan secara sukarela tanpa dibayar upah oleh pihak sekolah, kecuali diberi duit makan antara RM10 hingga RM15 sehari.


Menurutnya, mereka datang sekadar untuk menjual barang bagi mengutip derma sebagai dana bagi mengembangkan syiar Islam berikutan peruntukan yang diterima masih tidak mencukupi untuk proses pembelajaran.


Selain itu, katanya, mereka juga sudah dilatih untuk menjawab sebarang pertanyaan orang ramai dengan tenang dan sabar apabila berdepan dengan cabaran yang mendatang.


“Kalau setakat maki hamun sudah menjadi perkara biasa, tetapi tak kurang juga ramai yang kasihan lalu membeli barang yang kami jual dan tak kurang juga yang beri duit saja. Paling penting, mereka (orang ramai) ikhlas nak derma. “Kebiasaannya kami akan berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk menimba pengalaman baru di sana kelak,” katanya.

No comments:

Post a Comment