Saturday, January 29, 2011

Pedalaman


Norazizah tidak menyesal mengajar di pedalaman


NORAZIZAH Moktar sukar lupakan pengalaman menaiki bot selama lima jam untuk ke sekolah.

JERANTUT 28 Jan. - Bagi memperkasakan pendidikan kanak-kanak, usaha menyeluruh dilakukan oleh kerajaan sama ada di bandar atau desa supaya golongan sasar tidak ketinggalan.

Menyedari hakikat itu, seorang guru, Norazizah Moktar, 26, menyahut cabaran tersebut dengan memilih pedalaman Hulu Tembeling di sini untuk mendidik para pelajar di kawasan itu.

Norazizah yang dipilih menghiasi ruangan Gadis Pahang minggu ini berkata, dia mahu memberi pendidikan sempurna kepada pelajar di kawasan itu setanding dengan pelajar lain di bandar.

Katanya, keputusan mengajar di situ dibuat seiring dengan komitmen Kementerian Pelajaran untuk melihat para pelajar daripada semua kaum cemerlang dalam pelajaran masing-masing.

"Saya tidak berasa kesal walaupun berkhidmat di kawasan itu yang cuma boleh dihubungkan dengan bot penambang.

"Demi tugas, saya perlu laksanakan dengan penuh integriti, lagi pun pelajar di sini memerlukan pengetahuan dan kemahiran sebagai bekalan untuk mereka menguasai pelajaran sehingga ke peringkat lebih tinggi," katanya yang berasal dari Kampung Bantal, Hulu Tembeling ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Norazizah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi berdekatan Taman Negara Kuala Tahan berkata, pengalaman menaiki bot penambang hampir lima jam ke sekolah merupakan satu perkara yang sukar dilupakan.

Tambahnya, cabaran menaiki bot tersebut memberi rangsangan kepadanya untuk mendekatkan diri dengan pelajar di kawasan itu.

Sebelum menjadi guru, dia mengikuti latihan perguruan peringkat Diploma Pendidikan di Institut Perguruan Malaysia (IPM) Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor dua tahun lalu.

Sebaik taman pengajian, dia kemudian dipilih bertugas di kampung tersebut yang berhampiran dengan kampungnya iaitu Kampung Bantal.

"Bertugas di sini amat sesuai dengan jiwa saya yang dibesarkan dalam suasana sungai, flora, fauna dan pemandangan alam sekitar yang indah serta menikmati udara bersih.

"Bertugas di mana sekalipun sama sahaja, tetapi ada ketikanya kita perlu menempuh cabaran kerana sudah membuat akujanji untuk berkhidmat di mana-mana tempat," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment