Puyu, lampam paling laris
Oleh MARZITA ABDULLAH
utusanperlis@utusan.com.my
KANGAR 26 Jan. - Permintaan tinggi sehingga 40 tan sebulan terhadap ikan pekasam dari jenis ikan puyu dan lampam mendorong Perlis untuk menjadikan perusahaan tersebut sebagai salah satu industri penting di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, sebuah pusat penetasan ikan puyu dan lampam telah pun diwujudkan di Bukit Manik, Empangan Timah, Padang Besar bagi memenuhi permintaan ikan berkenaan.
"Pusat itu akan beroperasi pada Februari ini dan bakal menghasilkan kira-kira satu juta anak benih ikan untuk diedarkan kepada penternak ikan berkenaan di negeri ini," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, beberapa pengusaha ikan pekasam di negeri ini telah mendapat banyak tawaran untuk memasarkan ikan pekasam di beberapa pasar raya besar di negara ini.
"Namun jumlah permintaan yang terlalu tinggi iaitu 40 tan setiap bulan menyukarkan para pengusaha untuk memenuhi permintaan itu kerana negeri ini hanya mampu mengeluarkan kira-kira 500 kilogram ikan pekasam setiap bulan," katanya.
Ini kerana menurut beliau, bekalan ikan yang tidak konsisten selain masalah cuaca menyebabkan para pengusaha tidak mampu menyediakan jumlah berkenaan.
Menurut Sabry, harga bagi setiap kilogram ikan puyu dan lampam pekasam mencecah sehingga RM40 berbanding ikan puyu dan lampan hidup yang berharga antara RM12 sehingga RM15 sekilogram.
"Ini memberi peluang kepada para pengusaha ikan pekasam di negeri ini untuk menambah pendapatan melalui perusahaan ikan pekasam dan kita juga akan memastikan semua kolam terbiar di negeri ini dibangunkan semula bagi tujuan pemeliharaan ikan berkenaan," katanya.
Pada masa ini lebih 30 pengusaha ikan pekasam di negeri ini yang tertumpu di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Empangan Timah Tasoh.
"Ikan ini mudah diternak dan hasilnya boleh dituai selepas ikan berkenaan berusia empat bulan," katanya.
Beliau memberitahu, sebuah pusat pemprosesan ikan pekasam juga akan dibina di negeri ini bagi memudahkan pemasaran ikan tersebut malah satu jenama yang sesuai akan digunakan untuk semua ikan pekasam yang dikeluarkan dari Perlis.
Menurut Sabry, satu perjanjian persefahaman (MOU) antara pengusaha ikan pekasam dan pemilik pasar raya besar di negara ini akan ditandatangani bagi tujuan pemasaran ikan pekasam itu pada tahun ini.
Katanya, selain pasaran tempatan, pihaknya merancang untuk memasarkan ikan pekasam ke Jepun.
No comments:
Post a Comment