Wednesday, January 12, 2011

Hina Raja


Kain rentang hina raja

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

Khairul Anuar Ahmad Zainudin (tengah) bersama P. Saravenan (kiri) dan Mat Irwan Mat Ismail (kanan) menunjukkan laporan polis menafikan pihak mereka mengantung kain rentang menghasut orang ramai membenci institusi beraja di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 11 Jan. - Para penduduk di sini terkejut dengan tindakan pihak tertentu menggantungkan kain rentang menghina dan menghasut rakyat agar membenci institusi beraja di negeri ini.

Kain rentang yang turut tertera lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP dengan salah satunya memaparkan gambar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei digantung di sekitar kawasan Shah Alam.

Utusan Malaysia mendapati dua kain rentang sedemikian dilihat tergantung di kawasan Seksyen 11 di sini kira-kira pukul 8 pagi ini.

Bagaimanapun, kain rentang itu didapati telah diturunkan oleh anggota parti terbabit dengan kerjasama kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lama kemudian.

Satu kain rentang digantung dilihat tertera gambar Shuhaimi yang tertera dengan ungkapan;

"Dalam sejarah telah terbukti, apabila rakyat bangkit menentang raja, biarpun beribu tahun kebangkitan itu berlangsung akhirnya kebenaran akan menghenyak ketidakadilan. Rakyat akan menang dalam peperangan menentang ketidakadilan! Didoakan agar ia tidak berlaku di Selangor,".

Selain itu, satu lagi kain rentang digantung tertera ungkapan berbunyi; "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah" selain tertera logo parti Pas, DAP dan PKR serta Biro Penerangan PKR Selangor.

Kedua-dua ungkapan itu dipercayai dipetik daripada laman blog ADUN tersebut dalam kritikan dan penentangannya terhadap pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang telah diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus ketika dihubungi menyifatkan tindakan menggantung kain rentang itu sebagai keterlaluan kerana ia seolah-olah mengajak rakyat untuk tidak menghormati institusi beraja di negeri ini.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan kain rentang itu digantung susulan rasa tidak puas hati terhadap perkenan Sultan Selangor melantik Mohammed Khusrin sebagai SUK sebelum ini.

''Sultan Selangor menerusi titahnya pada 6 Januari menyatakan pelantikan Mohammed Khusrin dibuat mengikut peraturan serta Perlembagaan Negeri dan Persekutuan.

''Malah Sultan Selangor turut menyatakan bahawa baginda tidak menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik dalam menjalankan tugasnya selaku ketua negeri termasuk pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK.

"Jadi kenapa perlu ada tindakan menggantung kain rentang seperti ini? Ini satu tindakan yang sudah cukup melampau dan tindakan tegas harus dikenakan ke atas mereka yang terbabit," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dari Pas dalam sidang akhbarnya di sini menafikan pihaknya menggantung kain rentang yang didakwa menolak campur tangan Sultan Selangor dalam pentadbiran negeri.

Menurut Khalid, beliau menafikan kain rentang berkenaan termasuk yang turut digantung di Seksyen 9 dan 13 dikeluarkan oleh Pas, PKR dan DAP negeri ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Ketua AMK Puchong, P. Saravenan dan Ketua AMK Klang, Mat Irwan Mat Ismail membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berhubung perkara itu kira-kira pukul 2 petang ini.

Mereka mendakwa tidak pernah mengeluarkan arahan mencetak dan menggantungkan kain rentang tersebut sebelum ia dikesan awal pagi ini.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment