Saturday, January 15, 2011

Jualan Langsung

Syarikat jualan langsung diserbu

Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my
MELAKA 14 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka merampas barangan bernilai RM269,300 milik sebuah syarikat jualan langsung atas kesalahan di bawah Akta Jualan Langsung 1993.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Abd. Hafidz A. Rahim berkata, rampasan itu dibuat setelah pihaknya menerima aduan daripada seorang warga emas yang mendakwa ditipu kerana tidak menerima barang setelah membuat pembayaran kepada syarikat berkenaan.

Menurutnya, setelah membuat siasatan, pihaknya mendapati syarikat itu mengambil deposit daripada pelanggan sedangkan kelonggaran perlu diberi selama 10 hari untuk pelanggan membeli atau tidak barang yang ditawarkan.

''Syarikat ini mempunyai lesen jualan langsung tetapi telah bertindak menuntut wang tunai ataupun pembayaran kad kredit dengan segera daripada pelanggan.

''Ini sekali gus melanggar Seksyen 25(4) Akta berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Gadong Perdana, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abd. Hafidz berkata, syarikat jualan langsung yang sudah beroperasi hampir dua tahun lalu itu telah mengupah beberapa pekerja untuk mencari pelanggan yang kebanyakan dari golongan warga emas dan mereka yang tinggal di luar bandar.

''Barangan tersebut dijual secara pakej serendah RM300 sehingga RM3,000," katanya.

Dalam serbuan yang dilakukan oleh 10 anggota penguat kuasa, beberapa barangan dirampas seperti pemakanan tambahan, penapis air dan alat pengurut badan.

Berikutan itu, Abd. Hafidz menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan melulu seperti menyerahkan wang tunai atau kad kredit kepada pihak terbabit yang menawarkan barangan tertentu melalui perniagaan jualan langsung .

"Pengguna perlu berfikir sedalam-dalamnya, wang bukan boleh diperolehi dengan mudah," katanya.

Mengikut akta terbabit, pada dasarnya tiada penjual atau orang lain boleh menerima apa-apa wang atau balasan lain daripada pembeli di bawah sesuatu kontrak yang dibuat di bawah Akta Jualan Langsung 1993 sebelum habis tempoh bertenang (10 hari).

TAJUK-TAJUK BERITA L

No comments:

Post a Comment