Sunday, February 6, 2011

Kabur Masa Depan

Masa depan mangsa kabur


GARA-GARA salah sendiri, nasib dan masa depan wanita Malaysia yang diselamatkan dan kembali ke tanah air selepas mendakwa hidup derita dan serba kekurangan di Lombok, kabur.

Ini berikutan kebanyakan pernikahan diatur kekasih mereka sesampai saja di sana meragukan, termasuk beberapa faktor, antaranya pemalsuan nama sendiri dan ayah kandung, dinikahkan tanpa wali dan kadi bertauliah serta buku akuan nikah palsu.
Perkara itu diakui Staf Kara Bidang Bimbingan Perkahwinan dan Zakat Wakaf, Balai Nikah, Kantor Urusan Agama (KUA) Kecamatan Mataram, Lombok, Lufti Kahar ketika ditemui wartawan di pejabatnya di Mataram, Lombok, sebelum ini.

Pelbagai persoalan timbul, antaranya jika sudah beranak-pinak di pulau itu pasti berdepan masalah identiti warga negara anak mereka di sini, andai dilarikan ke sana ketika masih di bangku sekolah apa pula terjadi dengan pelajaran terkandas, yang pulang dalam keadaan hamil bagaimana menghadapi keadaan itu terutama remaja bawah umur dan yang terasa nak kahwin lain macam mana pula?



Sebagai contoh, keluhan Saadiah Hamzah, 41, yang bimbang masa depan adiknya, Nurul Wahida, 23, berikutan status perkahwinan mendatangkan permasalahan seperti bolehkah adiknya mencari teman hidup lain.


Itu belum lagi perasaan malu dan trauma berpanjangan apabila musibah dan penganiayaan lelaki Lombok itu menjadikan bukan saja Nurul dipersalahkan, malah keluarga turut dituduh dengan pelbagai tohmahan tanpa usul periksa, terutama masyarakat sekeliling.

Beberapa peminangan lelaki yang berminat memperisterikan Nurul terpaksa ditolak sebab Saadiah bimbang mungkin adiknya masih berstatus isteri orang dan takut terjadi kes wanita dua suami. Nurul dilarikan dan dikahwini di Lombok menggunakan nama Sopia Zakaria pada usia baru melepasi 16 tahun.

“Nurul terpaksa buat permohonan faraq nikah di mahkamah, jika tidak macam mana nak kahwin? Sebagai saudara tua bertanggungjawab, saya risau nanti ditanya di akhirat andainya membuat keputusan tak berlandaskan agama,” kata Saadiah ketika dihubungi Metro Ahad.

Artis remaja Salsabila Yunan, 17, pula terpaksa melupakan terus persekolahan. Salsabila atau Bella yang lari ketika musim peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bukan saja tercicir peperiksaan itu, malah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga diabaikan untuk fokus menjaga anak berusia tujuh bulan.

Tak tahu sama ada benarkah dia sudah melupakan suami sebab nama anak perempuannya Sakura Afifi Abdullah adalah nama dipersetujui bersama suaminya, Hafiz Sukma, 27, ketika hamil selepas berkahwin di Kampung Bara Bali, Lombok Tengah.

Bella dibawa pulang atas usaha Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno pada 23 Februari tahun lalu dalam keadaan hamil lima bulan.

“Memang penat menjaga anak tetapi saya cuba untuk jadi ibu yang baik. Sudah ada anak, tak rasa pula nak menyambung kembali pelajaran.

“Sebenarnya sebelum dibawa pulang ke sini saya mahu suami ada bersama sebab tak mahu menyusahkan keluarga,” katanya yang mengambil sikap mendiamkan diri apabila ditanya adakah dia masih ada hati terhadap Hafiz.

Kes remaja Iban dari Sarawak, Steffanie Liana anak Langka yang kini berusia 16 tahun berlainan pula ceritanya. Steffanie dikatakan memeluk Islam dengan menggunakan nama Islamnya, Liana.

Sukar juga dia mahu menyesuaikan diri kembali sebab masalah penerimaan keluarganya yang berlainan agama di Rumah Nangkai Nanga Manga, Mukah.

“Cinta saya terhadap suami (Tohri Jadi Jaya, 23) tak berbelah bagi. Saya tetap menunggunya,” katanya yang masih bersedih berpisah dengan suami walaupun pada masa sama gembira kembali ke pangkuan keluarga.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment