Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Sunday, February 6, 2011
Laki Lombok
Hukum lelaki lari gadis tempatan
Oleh ISMA ISMAIL dan AMIR ABD HAMID
metahad@hmetro.com.my
KHAIRUN...Khairun menunjukkan antara kes yang diusahakan pihaknya.
SEJAK lima tahun lalu, nama Pulau Lombok, Indonesia menjadi sebutan masyarakat negara ini gara-gara banyak kes membabitkan lelaki dari kawasan di Kepulauan Sunda Kecil itu melarikan wanita Malaysia dan keadaan dikatakan menjadi semakin ‘panas’ apabila ramai anak gadis bawah umur juga menjadi mangsa.
Walaupun media tempatan berkali-kali menyiarkan laporan bukan saja mengenai kepiluan keluarga di Malaysia menanggung rindu berikutan ketiadaan anak, isteri atau ibu yang sanggup meninggalkan keluarga demi mengejar cinta sang teruna dari Lombok itu, selain keperitan dialami mangsa yang berjaya diselamatkan, kisah berkenaan tetap tidak dijadikan iktibar.
Hampir setiap bulan masih ada kes ibu bapa atau keluarga yang mengadu untuk mendapatkan bantuan sama ada mengesan atau membawa pulang mangsa yang lari ke Lombok.
Bagi lelaki Lombok pula, mereka seakan-akan tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat negara ini dan didakwa mempunyai kelebihan hingga berupaya menawan serta membawa gadis tempatan mengikut mereka pulang ke tempat asalnya.
Sejauh mana hebatnya jejaka dari tanah seberang itu hingga mampu meraih cinta gadis Malaysia, sekali gus sanggup membelakangkan keluarga dan adat resam semata-mata mahu ‘sehidup semati’ dengan kekasih pujaan mereka.
Ada dakwaan mengatakan jejaka Lombok menggunakan amalan sihir yang mampu menundukkan gadis tempatan hingga menyebabkan mereka mudah mendapatkan sesiapa juga yang diinginkan menjadi kekasih dan menurut segala kemahuan mereka.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, yang menegaskan, jejaka Lombok sebenarnya pandai bermain kata-kata hingga mampu ‘mencairkan’ hati wanita.
Menurutnya, itulah keistimewaan mereka yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk memikat gadis tempatan, sekali gus memperdayakan mangsa dengan janji manis untuk hidup bahagia bersama.
“Hakikatnya mereka tidak ada apa-apa, mungkin daripada aspek kesetiaan cinta ada tetapi adakah gadis itu sanggup menempuh hidup susah semata-mata mengejar cinta apabila dibawa pulang ke kampung halaman mereka.
“Mereka (lelaki) sebenarnya datang ke negara ini untuk mencari rezeki kerana kehidupan di kampung susah, jadi mengapa perlu kita mengikut mereka sedangkan kita tahu bakal berdepan keadaan sebegitu.
“Negara kita makmur dengan limpahan rezeki dan keamanannya hingga ramai orang luar sanggup bergadai nyawa untuk datang, namun kita pula lari ke tempat orang semata-mata hanya bersandarkan kepada cinta.
“Akhirnya, kita terjerat dan selepas tidak lagi mampu menanggung kesusahan baru menyesal dan mula memikirkan keluarga yang ditinggalkan,” katanya yang banyak terbabit dalam misi menyelamatkan gadis yang dilarikan jejaka Lombok.
Diakuinya juga bahawa kes membabitkan gadis lari mengikut jejaka Lombok seperti tiada kesudahannya kerana pihaknya menerima hampir dua kes sebulan sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, tahun lalu pihaknya menerima 18 kes dan lima daripadanya berjaya diselesaikan iaitu dapat dibawa pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga masing-masing.
Katanya, sebahagiannya lagi pihaknya dapat mengesan lokasi mereka dan dalam proses menguruskan usaha untuk menemui sekali gus membawa mereka pulang.
“Yang menyedihkan, kebanyakan kes yang diterima membabitkan gadis bawah umur dan untuk tahun lalu saja kami membuka 10 kes membabitkan gadis berusia bawah 18 tahun,” katanya.
Menurutnya, menjadi cabaran besar kepada pihaknya memenuhi harapan yang disandarkan keluarga berkenaan untuk membantu menyelamatkan anak gadis mereka.
Katanya, memang menjadi hasrat pihaknya untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, tetapi hakikatnya bukan mudah untuk berurusan serta membawa gadis yang dibawa ke Lombok itu pulang ke Malaysia.
“Sebenarnya tindakan kita terbatas kerana selain perundingan dengan keluarga, ia membabitkan perundangan kerana kebanyakan gadis lari ke Lombok masuk ke negara berkenaan secara haram tanpa dokumen sah.
“Berdasarkan maklumat yang kami dapat, ramai gadis dibawa lari ke Lombok melalui laluan tikus di selatan tanah air sebelum menaiki tongkang ke seberang dan keadaan ini memungkinkan mereka dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa negara jiran itu,” katanya.
Menurut Muhd Khairun, usaha perundingan dengan keluarga lelaki Lombok juga bukan mudah kerana betul-betul memerlukan tindakan diplomasi supaya tidak membangkitkan keadaan tidak puas hati mereka.
Katanya, pihaknya pernah berdepan pengalaman mencemaskan dengan penduduk di sana ketika mengendalikan satu kes apabila mereka marah dengan tindakan membawa pulang gadis yang berkahwin dengan pemuda dari kawasan itu.
“Ketika itu kami terpaksa berlindung di sebuah balai polis kerana penduduk kampung dan keluarga pemuda itu mengepung petugas misi dengan bersenjata.
“Itu sebahagian cabaran yang terpaksa kami hadapi, belum lagi ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa akan berlaku sesuatu perkara buruk terhadap kami,” katanya.
Melihat kepada isu berkenaan seperti tiada kesudahannya, Muhd Khairun mencadangkan kerajaan menggubal satu peruntukan undang-undang bagi mendakwa lelaki yang memujuk dan melarikan gadis Malaysia seperti kes Lombok.
Menurutnya, mungkin cara itu dapat memberi peringatan kepada mana-mana lelaki, termasuk dari Lombok, supaya tidak sewenang-wenangnya memperdaya atau mengambil kesempatan terhadap gadis Malaysia.
“Saya juga ingin memberi amaran kepada pekerja asing, terutama dari Lombok, supaya meninggalkan budaya di tempat mereka jika benar-benar mahu mencari rezeki di negara ini.
“Hormatilah budaya di Malaysia dan jika benar-benar jatuh cinta dengan gadis di sini, patuhi adab resam yang ada, bukan membawa lari gadis sesuka hati mereka,” katanya.
INFO
Lombok adalah sebuah pulau di kepulauan Sunda Kecil atau Nusa Tenggara
Ia dipisahkan oleh Selat Lombok dari Bali di sebelah barat dan Selat Alas di sebelah timur dari Sumbawan Pulau mempunyai keluasan 4,725 kilometer persegi
Mataram adalah bandar utamanya
Penduduknya melebihi dua juta orang
Lebih kurang 80 peratus penduduknya daripada suku Sasak dan sebahagian besarnya memeluk agama Islam
Di kalangan mereka ada golongan yang menganut agama Islam tempatan yang dipanggil Wetu Telu
Baki penduduk di Pulau Lombok adalah orang Bali, Jawa, Cina dan Arab
Kongsi artikel ini menerusi media sosial
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment