Kekasih jahil agama menipu
SAYA gadis berusia 20-an yang sentiasa berharap dijodohkan dengan lelaki terbaik yang mampu membimbing dunia akhirat. Saya masih menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di ibu kota. Sebelum menyambung pengajian, saya pernah bekerja sebagai pensyarah sambilan yang membawa kepada pertemuan dengan seorang jejaka juga pensyarah di tempat sama.
Di awal perkenalan semua�nya indah. Saya berasakan seolah-olah dianugerah
lelaki yang sempurna untuk dijadikan suami. Pada pandangan saya, dia tidak kacak tapi sifatnya yang penyayang itu sudah cukup membahagiakan. Enam bulan berlalu dan saya menerima tawaran menyambung pengajian berjauhan darinya.
Keadaan ini menjadi dugaan besar, kami makin jarang berkomunikasi atas alasan sibuk. Mungkin silap saya tidak bertanya latar belakangnya lebih lanjut. Contohnya sembahyang, puasa dan kisah lalunya kerana setiap kali keluar bersama dia akan sama-sama ke surau untuk menunaikan solat. Mungkin Allah hendak bagi petunjuk pada saya.
Pada suatu hari semasa solat, saya tidak nampak langsung bayangnya dalam surau. Lama saya menunggu untuk melihat kelibatnya tapi gagal. Saya kembali ke kereta dan melihat dia sedang merokok. Saya perhatikan mukanya yang langsung tidak nampak kesan wuduk. Saya curiga dan bertanya hingga mencetuskan pergaduhan.
Akhirnya dia mengaku tidak pernah solat. Hancurnya hati saya ketika itu. Dia juga mengaku tidak pernah solat dan puasa semasa zaman remajanya hingga belajar di universiti. Kekasih saya itu juga tidak khatam al-Quran dan macam-macam lagi pengakuan yang membuatkan saya rasa beratnya dugaan ini. Dia berjanji akan berubah. Kadang-kadang pernah terfikir untuk saya memutuskan hubungan dengannya tapi akhirnya kerana sayang saya teruskan jua.
Setiap waktu solat saya mengingatkannya mengenai solat dengan harapan dia akan berubah. Sehari dua dia menerima teguran saya. Lama-kelamaan dia mungkin bosan saya asyik mengulangi pertanyaan mengenai solat. Akhirnya kami bergaduh dan dia memberi kata dua iaitu kalau saya sayangkannya jangan tanya lagi pasal solat. Katanya dia akan berubah dengan sendiri. Kalau tidak saya boleh cari lelaki lain. Kerana sayang saya teruskan tanpa mengajukan soalan itu lagi dengan harapan dia berubah. Saya sentiasa berdoa minta diberikan petunjuk kerana solat dan puasa melambangkan pegangan kita pada agama. Yang pasti hati semakin tawar untuk meneruskan hubungan tapi saya masih sayangkan dia dan susah untuk lupakan segala kebaikannya.
Saya mohon pandangan Dr. Perlukah saya teruskan hubungan dan berharap dia akan berubah. Saya takut sekali untuk berpisah. Takut saya akan jumpa lelaki yang lebih baik dari dia. Tolonglah saya.
Kecewa,
Shah Alam, Selangor.
BUKAN mudah meminta seseorang itu berubah. Me�ngubah sikap, tingkah laku dan personaliti manusia yang kita inginkan memerlukan peringkat-pering�kat tertentu. Kebiasaannya, prosesnya memerlukan masa yang panjang. Untuk me�nyuruh atau melatih malah ‘menjinakkan’ manusia untuk berubah mengikut corak kita kehendaki adalah sukar. Ini kerana kejadian manusia itu sendiri yang unik lagi kompleks.
Jelas kekasih adik bukan seorang yang mudah dibentuk personaliti serta sikapnya. Dia juga seorang yang tidak berpegang pada janji untuk berubah. Kehadirannya walaupun memberi sinar cinta tetapi banyak mengecewakan adik. Pepatah ada mengatakan “Andai hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan, lebih baik cinta itu tidak pernah hadir”.
Dr memahami akan konflik yang adik alami. Sebagai seorang Islam, adik ingin bakal suami berpegang teguh dengan ajaran agama dan tidak lupa melaksanakan perintah-Nya. Rasulullah bersabda: “Islam dibina atas lima perkara, bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji.”
Adik juga tidak mahu tersilap langkah dalam memilih pasangan hidup. Antara sebab berlakunya masalah rumah tangga ini ialah kesilapan pasangan dalam memilih jodoh. Ini kerana pemilihan jodoh tidak berdasarkan apa yang dianjurkan oIeh Rasulullah sebagaimana sabdanya: “Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama, nescaya akan selamat,” (Muttafaqun Alaihi).
Islam sangat mementing�kan pemilihan jodoh bukan sekadar memandang harta kekayaan, bukan sekadar mengambil kira keturunan yang mulia dan bukan juga melihat paras rupa yang cantik, tetapi sebenarnya pilihlah yang beragama.
Mengetahui kekasih me�ngabaikan perintah Allah, adik sudah melaksanakan satu tugas mulia iaitu berdakwah. Namun, berdakwah perlu bijaksana dan berhikmah. Tugas melaksanakan dakwah kewajipan setiap individu. Firman Allah “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik” (an-Nahl ayat 125).
Dilema adik ialah perasaan takut untuk berpisah dan berjumpa lelaki yang lebih baik daripada kekasih. Berdasarkan luahan, adik inginkan lelaki yang taat kepada perintah Allah. Ini bermakna, adik inginkan lelaki yang lebih baik daripada kekasih adik.
Justeru, adik perlu bertanya kepada diri sendiri apakah sebenarnya lebih diingini? Adakah adik lebih inginkan sebuah cinta atau lebih inginkan seorang lelaki beriman yang dapat membimbing adik menjadi isteri solehah kelak.
Adik perlu benar-benar jelas perkara ini. Jika tidak, adik akan sentiasa berada dalam konflik kerana lelaki yang adik cintai (kekasih) tidak memiliki sifat diidam�kan itu.
Kecuali jika kekasih sang�gup berubah dan menjadi lelaki beriman, adik perlu
memilih salah satu. Pilihan adik perlulah dapat memberi ketenangan berkekalan dalam hidup. Ia jauh lebih baik daripada keseronokan sementara di hati tetapi menyeksa jiwa dan kerohanian diri.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial
No comments:
Post a Comment