Ajal guna jalan pintas
BERA: Tindakan seorang lelaki warga emas menunggang motosikal menggunakan jalan pintas untuk membuat lencongan membawa padah apabila kenderaan ditungganginya itu dirempuh pacuan empat roda mengakibatkan dia maut berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera yang baru, dekat sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Setapa Jusoh, 84, dari Taman Kerayong Makmur, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Triang, dekat sini, ketika menerima rawatan.
Difahamkan, mangsa yang menunggang seorang diri dalam perjalanan ke Bandar Bera dari rumahnya atas urusan peribadi dipercayai cuba mengubah lorong dan memotong pacuan empat roda itu untuk masuk ke laluan pintasan.
Ketua Polis daerah, Deputi Suprintendan Mohd Zahid Mohd Nor, berkata siasatan awal mendapati, mangsa yang dipercayai tidak memberi lampu isyarat ketika mahu mengubah lorong dirempuh kenderaan terbabit mengakibatkan dia tercampak ke permukaan jalan.
Menurutnya, mangsa yang parah di kepala dibantu orang ramai dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Triang untuk menerima rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.
Katanya, jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan dan polis sudah mengambil keterangan pemandu terbabit dan saksi kejadian untuk membantu siasatan.
Mohd Zahid berkata, polis mendapati pengguna jalan raya menggunakan jalan pintas berkenaan untuk ke Bandar Bera kerana tidak mahu membuat pusingan U tanpa memikirkan soal keselamatan ketika berada di jalan raya.
“Polis masih menyiasat kemalangan itu terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Justeru, kami menasihatkan supaya pengguna jalan raya mematuhi arahan dan undang-undang jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
No comments:
Post a Comment