'Doktor' didakwa cabul staf klinik
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 3 Dis. - Seorang 'doktor' yang pernah menyambut sembilan kelahiran bayi dan sedang disiasat kerana tidak mempunyai kelayakan, dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencabul seorang kakitangan klinik swasta pada November lalu.
Hilme Abdul Hamid, 41, bapa kepada sembilan orang anak mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Afifah Mamat @ Yusof.
Tertuduh yang merupakan bekas anggota tentera didakwa mencabul kehormatan gadis berusia 18 tahun itu di sebuah klinik di Batu 9, Bukit Kapar Timur, Kapar dekat sini pada pukul 7.30 malam, 14 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta memaklumkan tertuduh juga sedang disiasat atas kesalahan menyamar sebagai doktor.
Hilme yang tidak diwakili peguam bela memohon jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan dia menanggung sembilan anak manakala isterinya merupakan suri rumah.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Januari ini.
Mengikut laporan akhbar pada Rabu lalu, tertuduh yang dikatakan menyamar sebagai doktor, pernah berkhidmat di tiga buah klinik di sekitar negeri ini sejak tiga tahun lalu sebelum diberkas polis pada 22 November lalu.
Dia ditangkap ketika membuat persiapan untuk menyambut kelahiran seorang bayi di klinik tempatnya bertugas berikutan aduan seorang pekerja klinik yang mendakwa dirinya dicabul.
Siasatan mendapati tertuduh yang pernah menyambut sembilan kelahiran bayi dengan selamat itu hanya berkelulusan diploma dari Kolej Perubatan Seremban dan pernah bertugas sebagai pembantu perubatan tentera di sebuah hospital tentera di Melaka sejak 1988 sebelum berhenti pada 2006.
No comments:
Post a Comment