Mati di lampu isyarat
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
IPOH: Misteri sebuah kereta yang tiba-tiba berhenti dan tidak bergerak di satu persimpangan lampu isyarat di sini, semalam menimbulkan tanda tanya orang ramai yang menggunakan laluan itu sebelum mendapati seorang lelaki terbaring kaku tidak bernyawa di tempat duduk pemandu kenderaan itu.
Sebelum kejadian, orang ramai yang menggunakan laluan itu curiga apabila mendapati kereta berkenaan tidak bergerak walaupun lampu isyarat sudah bertukar hijau beberapa kali.
Sebaik menjenguk ke dalam kereta, beberapa pengguna jalan raya mendapati mangsa sudah tidak bernyawa sebelum menghubungi polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi di Jalan SP Seenivasagam berdekatan Perpustakaan Tun Razak itu, seorang penyelia teknikal sebuah syarikat telekomunikasi tempatan ditemui meninggal dunia di tempat duduk pemandu kereta Perodua Kancil dipandunya dipercayai akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jelapang.
Mangsa, Abdul Halim Udin, 55, dari Kampung Tersusun Sengat, Kampung Kepayang adalah penyelia teknik Telekom Malaysia Berhad (TM) berpejabat di Jelapang, di sini.
Rakan mangsa, Mohd Khair Ismail, 51, berkata dia menerima berita kematian rakan sekerjanya itu kira-kira jam 9 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, arwah sudah tidak bernyawa sebaik dia tiba di tempat kejadian dan kali terakhir berjumpa arwah minggu lalu ketika bekerja bersama-sama dan sepanjang mengenalinya, arwah tidak pernah mengadu sakit.
No comments:
Post a Comment