Cari Vietnam jumpa Thailand
Laporan dan foto RAMLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Operasi mencari mangsa lemas warga Vietnam, di sini, semalam, dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki warga Thailand berhampiran jambatan Tok Bali, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mayat warga Thailand itu ditemui terapung di permukaan air kawasan terbabit.
Katanya, mayat lelaki berusia 20-an yang tidak mempunyai pengenalan diri itu ditemui kira-kira jam 9.50 pagi ketika operasi mencari dan menyelamatkan warga Vietnam dilakukan.
“Kita percaya warga Thailand itu adalah awak-awak nelayan yang bekerja di sini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi dan Penyelamat Bomba Negeri Kelantan, Yuzaimie Ahmad Kamil berkata, operasi itu pada asalnya bertujuan mencari mangsa warga Vietnam berusia 24 tahun bekerja sebagai nelayan yang dipercayai lemas, kelmarin.
Katanya, ketika kejadian, lelaki terbabit dipercayai terjun ke dalam laut untuk membantu dua lagi rakannya membuang pukat yang tersangkut pada kipas bot mereka.
“Dua rakannya selamat manakala mangsa tidak muncul, menyebabkan mereka menyedari kehilangannya.
“Kita menerima panggilan pada jam 6.33 petang sebelum ke tempat kejadian mencari mangsa. Sehingga kini dia masih gagal ditemui dan operasi mencari masih diteruskan,” katanya.
No comments:
Post a Comment