Thursday, December 9, 2010

Ulat Buku

Ulat buku gila judi Internet


KUALA LUMPUR: Golongan remaja dikesan semakin galak bertaruh judi bola melalui Internet sehingga ada yang sanggup berhutang along semata-mata untuk memenuhi keinginan berjudi itu.

Fenomena terbaru itu dianggap membimbangkan apabila gejala perjudian dan pertaruhan bola sebelum ini hanya dikaitkan dengan golongan dewasa, tetapi kini, remaja mula berjinak-jinak untuk mencuba.


Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata sejak awal tahun ini, pihaknya menerima tujuh aduan membabitkan kerugian mencecah lebih RM800,000.

Dalam kes terbaru, seorang ibu tidak mampu menanggung bebanan hutang anak lelakinya akibat kalah dalam perjudian bola di Internet.


Mangsa yang mahu dikenali sebagai Yong, 45, dari Taman Mayang Jaya, Petaling Jaya, di sini, mendakwa anak lelaki sulung daripada dua beradik itu mula berjinak-jinak dalam permainan judi Internet selepas menuntut di sebuah kolej swasta.


Difahamkan, anak lelakinya, Ah How, 21, terbabit dalam perjudian itu sejak awal Julai lalu kerana terpengaruh rakan sebaya hingga menyebabkan dia ketagih dengan permainan itu. “Saya mendapat tahu anak saya menyertai perjudian itu selepas seorang pengutip hutang menghubunginya dan memberitahu Ah How berhutang dengan mereka.


“Saya pada mulanya amat terkejut kerana anak saya ulat buku dan tidak pernah pergi ke pusat Internet. Namun, apabila ditanya mengenai hutang along itu, dia mengakui meminjam along untuk berjudi bola,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.


Beliau yang bekerja di sebuah syarikat pengiklanan mendakwa sudah dua kali melangsaikan hutang anaknya berjumlah RM15,000 dan RM8,000.

Malah, anaknya yang berkelulusan diploma perniagaan turut menghabiskan wang pelaburannya berjumlah RM15,000 untuk berjudi. “Dia berjanji mahu berhenti bermain judi bola itu, tetapi pada 2 Disember lalu, saya menerima panggilan telefon daripada along yang memperkenalkan diri sebagai Ah Boon memberitahu anak saya berhutang RM26,500.


“Saya menghubunginya (anak), namun gagal. Dia menghilangkan diri kerana takut gangguan along terbabit. Dia juga menghantar SMS memaklumkan mahu bekerja untuk melangsaikan hutangnya itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment