Monday, December 27, 2010

Tiket Naik Menara

Berapakah sebenarnya harga tiket naiki Menara Kuala Lumpur?

BERAPAKAH sebenarnya harga tiket dikenakan kepada warga Malaysia untuk menaiki Menara Kuala Lumpur?

Saya timbulkan persoalan ini kerana baru-baru ini saya membawa keluarga untuk menaiki menara tersebut. Terpapar di situ harga tiket bagi seorang dewasa ialah RM38 sementara kanak-kanak pula RM28.

Saya agak terkejut kerana tidak menjangka harga tiketnya begitu tinggi. Namun kerana ingin membawa keluarga merasai pengalaman menaiki Menara Kuala Lumpur, saya bayar juga sekalipun terpaksa membelanjakan wang agak banyak. Kami semua tujuh orang, enam dewasa, seorang kanak-kanak.

Apabila saya bercerita kepada rakan-rakan kemudiannya, mereka memberitahu saya harga yang tertera itu adalah untuk pelancong warga asing. Harga untuk rakyat tempatan hanyalah separuh, dengan syarat kita menunjukkan kad pengenalan ketika membeli tiket.

Apa yang saya musykilkan, jika benarlah begitu, kenapa tidak ada tertera harga tiket berlainan bagi pelancong dan bagi rakyat tempatan? Kenapa hanya ditulis harga tiket secara umum?

Atau kenapa tidak ditulis warga tempatan perlu menunjukkan kad pengenalan untuk membolehkan mereka mendapat harga tiket lebih murah? Jika tidak diberitahu, bagaimanakah mereka boleh tahu?

Dalam kes saya dan keluarga, saya sendiri telah memberitahu kepada penjual tiket seorang anak saya adalah masih kanak-kanak, dan penjual tiket bertanya umurnya berapa? Saya beritahu, anak saya dalam Darjah Empat. Sepatutnya dia faham yang kami orang Malaysia. Di negara lain dipanggil 'darjah' jugakah jika belajar di sekolah rendah?

Atau jika tidak pun, bukankah sekurang-kurangnya dia patut bertanya adakah saya warga Malaysia dan meminta menunjukkan kad pengenalan. Sebab penjual tiket itu pun orang Malaysia. Muka saya pun muka Melayu Malaysia.

Namun dia tidak berbuat begitu dan terus meminta saya membayar harga tiket seperti yang tertera.

Saya berharap pihak Menara Kuala Lumpur memberi penjelasan mengenai perkara ini. Janganlah dibiarkan orag ramai dalam kekeliruan.

MAT TARZAN

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment