Sunday, December 12, 2010

Peranan Penulis

Penulis perlu berani dedah kepincangan

KUCHING 10 Dis. - Para penulis perlu berani dan bertanggungjawab untuk menulis segala kepincangan yang berlaku dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, mereka perlu menjadi pengkritik sosial yang berani dan menterjemahkan kritikan itu menerusi ciptaan karya-karya sastera yang bernilai tinggi.

Menurutnya, ini kerana penulis mempunyai tanggungjawab moral dan sosial bagi memastikan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini dilestarikan.

''Pendapat Sasterawan Negara, Profesor Dr. Muhammad Salleh berhubung peranan seorang penulis untuk terus menjadi penulis ada kebenarannya dan ia masih relevan dalam masyarakat majmuk serta dapat membantu usaha transformasi negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2010 di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Profesor Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Jabu dalam pada itu memberitahu, Sarawak merupakan muzium hidup yang mempunyai 1,001 elemen bahasa, sastera dan budaya yang masih perlu diterokai sekali gus menjadi sumber ilham dan bahan untuk digarapkan dalam karya kreatif.

Ujar beliau, kepelbagaian itu adalah merupakan suatu kekuatan dan kelebihan kepada masyarakat di negeri ini.

''Ini kerana, kedamaian dan keharmonian itulah yang telah membolehkan rakyat dan negeri ini dibangunkan dengan jayanya," katanya.

Sementara itu, Termuzi berkata, DBP sentiasa berusaha meningkatkan integrasi nasional antara suku kaum di Sarawak dan Sabah dengan masyarakat di Semenanjung bagi mendukung hasrat 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambahnya, antara usaha itu ialah mengadakan program yang melibatkan pelbagai kaum dan dimasukkan dalam Sasaran Kerja Utama (SKU) DBP 2011-2015

No comments:

Post a Comment