AKIBAT BUTA SEJARAH
SEJAK Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013, berbagai-bagai komen dan polemik kedengaran.
Tidak kurang kedengaran suara sumbang yang mempertikaikan keputusan itu dengan menggembar-gembur berbagai-bagai alasan. Antaranya mencari kesilapan dalam kertas peperiksaan dan kekurangan dalam sukatan mata pelajaran Sejarah.
Bahkan, keputusan yang dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini diperbesar-besarkan kononnya tidak kena pada tempatnya.
Seperti yang pernah dibangkitkan oleh seorang kolumnis dalam akhbar bahasa Inggeris baru-baru ini, “Bukan dalam acara kementerian atau sekurang-kurangnya dalam Konvensyen Barisan Nasional.”
Satu pertanyaan wajar dikemukakan di sini: “Adakah kolumnis berkenaan akan mengemukakan persoalan yang serupa jika pengumuman berita baik untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil dibuat sempena Perhimpunan Agung MIC? Atau berita baik untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dibuat sempena Perhimpunan Agung MCA?”
Tidak kurang yang cuba menarik perhatian tentang ralat fakta dalam buku teks Sejarah. Seorang ‘ahli sejarah’ yang membangkitkan ralat dalam buku teks berkenaan dan baru-baru ini menulis dalam akhbar Inggeris: “Untuk memburukkan lagi keadaan, lebih 10 ralat atau percanggahan fakta dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 hingga 5.” Bagi yang mengetahui matematik mudah, 10 atau 15 ralat untuk lima tahun bukanlah besar sangat sehingga perlu heboh ke sana ke mari!
Dia turut menyebut “Semua 17 orang penulis buku teks Sejarah berkenaan adalah terdiri daripada satu kaum sahaja.” Dia juga mempersoalkan “mengapa tidak disebut secara mutlak pengasas Melaka (Parameswara) ialah putera Hindu dari Palembang yang mati sebagai penganut Hindu.”
Sebagai generasi yang lahir sebelum Merdeka, saya juga belajar Sejarah dengan menggunakan buku teks tanpa mempedulikan apakah penulisnya Melayu, atau Cina, atau India, atau sebagainya. Saya juga belajar tentang Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara tanpa dibesar-besarkan apakah agamanya yang sebenar. Tidak semuanya perlu dimasukkan ke dalam buku. Tidak silap saya, guru yang mengajar Sejarah tidak mementingkan sangat agama Parameswara mungkin kerana pada tahun 1960-an, tidak ada orang yang ingin menjadi “jaguh agama.”
Sesungguhnya, satu malapetaka jika kita membiarkan orang yang buta sejarah membimbing kita dan menerajui negara Malaysia ini.
Zulkifli Salleh
Kuala Lumpu
No comments:
Post a Comment