Wednesday, December 15, 2010

Duda Lemas

Duda cari bola golf lemas dalam tasik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Niat murni seorang duda mendapatkan wang tambahan mencari bola golf terpakai bagi membantu bapanya yang menjual barangan itu mengundang padah apabila ditemui lemas dalam tasik di Tiara Melaka Golf & Country Club, Ayer Keroh, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, mangsa Azrul Jaapar, 25, bersama dua rakannya Izuan Abdul Latif, 19, dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Botak berenang menyeberangi tasik selebar kira-kira 100 meter untuk mengutip bola golf di tepi tebing.


Mayat mangsa ditemui anggota dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Bukit Katil kira-kira jam 5.50 pagi selepas menerima maklumat kejadian.

Difahamkan, mereka bertiga memasuki kawasan kelab golf berkenaan melalui lubang pada pagar di bahagian belakang kelab yang terlindung dengan kawasan hutan bagi mengelak dikesan sebelum memasuki tasik itu.


Bapa mangsa, Jaapar Leman, 55, berkata anak kedua daripada tiga beradik itu yang bekerja kontrak tidak pernah melakukan kerja mencari bola golf terpakai.


Katanya, kali terakhir dia melihat anaknya itu awal pagi semalam ketika arwah berbual bersama-sama rakannya.

“Saya mendengar mereka merancang pergi mencari bola golf, namun dia tidak berkata sepatah apa pun kepada saya. Tidak pernah dia pergi mencari bola golf, namun rakan dia yang beria-ia bercerita menyebabkan arwah bersemangat mengikut.


“Tetapi, saya pelik apabila sebelum keluar dari rumah kira-kira jam 1 pagi, dia memandang saya beberapa kali seperti hendak berkata sesuatu, namun tidak terucap. Saya amat sedih kerana ia petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui menunggu jenazah anaknya di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini.

Sementara itu, Izuan yang terselamat dalam kejadian berkenaan mendakwa serik untuk pergi mencari bola golf terpakai.


“Kami masuk melalui lubang pada pagar di bahagian belakang dan sebaik tiba di tasik kira-kira jam 2.40 pagi (semalam), kami menanggalkan baju dan memakai seluar pendek lalu berenang perlahan-lahan bagi mengelak dilihat orang.


“Ketika sampai di bahagian tengah tasik, tiba-tiba Azrul yang berada di sebelah kiri lemas dan menjerit meminta tolong. Rakan kami (Botak) yang berenang di tengah-tengah cuba membantu dia berenang ke seberang dan saya juga ikut berenang sebelum saya nyaris lemas.


“Dengan bantuan Botak, saya dibawa ke daratan sebelum kami melihat Azrul lemas kali kedua dan tenggelam perlahan-lahan,” katanya.


Katanya, Botak yang keletihan berenang tidak dapat membantu Azrul lalu meminta dia menunggu sementara mendapatkan bantuan.


“Selepas menunggu kira-kira setengah jam, Botak masih tidak muncul dan saya bergegas meminta bantuan penghuni banglo berdekatan untuk menelefon polis,” katanya.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment