Saturday, December 25, 2010

Ugut Dengan Pistol

Rogol adik ipar kena jel 12 tahun, 2 sebatan

KLANG – Seorang bekas pengawal peribadi sengaja meletakkan senjata api di atas selimut tebal sewaktu memperkosa adik iparnya, lima tahun lalu.

Mangsa yang ketakutan kerana pertama kali melihat sepucuk pistol tidak berani melawan lalu diperkosa lelaki itu yang mengambil kesempatan di atas ketiadaan kakak mangsa, seorang kakitangan kerajaan kerana bertugas di luar daerah.

Demikian fakta kes seorang abang ipar yang didapati bersalah merogol adik iparnya ketika itu berusia 25 tahun, di sebuah rumah kerajaan di Putrajaya, antara jam 5 hingga 7.20 pagi, 22 Mei 2005.

Mangsa tinggal bersama di rumah itu kerana membantu menjaga anak kakaknya.

Pada malam kejadian itu, lelaki berusia 34 tahun itu memasuki bilik mangsa dengan membawa sepucuk pistol.

Mangsa cuba menjauhkan diri ke bilik air dan membuat helah dengan mengajak abang iparnya keluar ke ruang tamu.

Bagaimanapun tidak berjaya malah abang iparnya itu terus memadamkan lampu dan merentap pakaiannya.

Mangsa cuba melawan tetapi diugut dan diancam. Selain itu mangsa amat ketakutan melihat senjata api milik abang iparnya itu.

Malah sepanjang kejadian, pistol berkenaan berada di atas selimut.

Setimpal dengan perbuatan kejinya, Mahkamah Sesyen di sini, semalam, lelaki itu dihukum penjara 12 tahun dan dua sebatan.

Selain dihukum kerana merogol, lelaki itu turut didenda RM300 atau sebulan penjara kerana memiliki gari.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap lelaki berkenaan yang diwakili peguam, Badrul Munir Bukhari.

Menurut peguam, anak guamnya kini hidup susah ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang kerana tidak memperoleh pendapatan tinggi memandangkan hanya bekerja sambilan di kelab malam dan di pasar tani selain menjadi ‘call man’.

“Segala perbelanjaan rumah dan tiga anak mereka kebanyakan ditanggung isterinya,” kata Badrul Munir.

Tambahnya, dalam kes ini anak guamnya tidak menafikan menodai mangsa.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin berkata, hukuman berat perlu sebagai pengajaran selain perbuatan lelaki itu yang meninggalkan sejarah hitam berpanjangan kepada mangsa.

“Mangsa trauma seumur hidup,” katanya dengan titisan air mata ketika berhujah bagi pemberatan hukuman.

Sehubungan dengan penangguhan hukuman penjara, lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Kes turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noorbaya Jamil.

No comments:

Post a Comment