Tuesday, December 21, 2010

Gores Dan Rugi

Kerani rugi RM8,000 ditipu sindiket gores dan menang

JOHOR BAHRU 20 Dis. - Dengan hanya bermodalkan kad pengenalan dan pujuk rayu yang memukau, seorang kerani wanita kerugian RM8,000 akibat terpedaya dengan helah sindiket gores dan menang.

Kejadian itu berlaku petang Sabtu lalu ketika mangsa, Taw Ie Wen, 29, berseorangan di kompleks beli-belah City Square di sini.

Dia yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Singapura didatangi seorang lelaki dan menyuruhnya membuka sekeping kertas cabutan bertuah biarpun pada awalnya dia menolak permintaan itu.

"Namun, lelaki itu cuba meyakinkan saya dengan menunjukkan kad pengenalan dan memberitahu bahawa syarikatnya kini menjalankan promosi di beberapa buah pusat beli-belah yang lain. Akhirnya saya termakan dengan kata-katanya dan terus ke pejabatnya di Taman Molek bagi mengambil hadiah," katanya.

Ibu kepada dua anak itu juga mengeluarkan wang tunai RM8,000 menggunakan dua kad kreditnya.

Setibanya di pejabat tersebut, dia diberitahu berjaya memenangi sebuah tilam jed, satu set teater rumah, sebuah periuk dan sebuah ketuhar gelombang mikro.

"Wang RM8,000 itu untuk membayar kos kerajaan dan kos iklan. Kabur mata melihat hadiah yang dimenangi, saya terus bayar wang.

"Malangnya, setiba di rumah, saya dapati barangan tersebut tidak berjenama dan nilainya tidak setimpal dengan wang yang saya bayar.

"Buntu dengan situasi berkenaan, saya menghubungi nombor yang tertera di katalog tilam jed tersebut namun ia tiada dalam perkhidmatan," katanya kepada pemberita di Kelab Akhbar Cina sambil ditemani Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck yang juga Ketua Biro Pengaduan Awam MCA di sini, hari ini.

Ie Wen berkata, dia kemudian menghubungi seorang rakannya dan menceritakan kejadian tersebut dan amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia telah ditipu oleh sindiket gores dan menang tersebut.

Tanpa melengahkan masa, dia terus membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya.

Lebih malang, akibat kejadian tersebut, Ie Wen kini terpaksa menanggung beban hutang kad kreditnya yang digunakannya.

Sementara itu, Song Tuck memberitahu, pada minggu lalu sahaja pihaknya menerima lapan aduan berkenaan sindiket tersebut yang menjadikan pusat beli-belah sebagai lokasi mencari mangsa.

"Saya berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sindiket tersebut dan pihak yang berwajib diharap menjalankan pemantauan secara berkala bagi mengurangkan risiko berlakunya kejadian tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment