Penjual tiket dipenjara
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Perang mulut yang tercetus antara seorang penjual tiket bas dengan seorang pelanggan wanita menyebabkan lelaki itu bertindak mencederakan mangsa dengan menggunakan kerusi plastik pada bulan lalu.
Sikap cepat naik darah itu bagaimanapun telah menyebabkan Abdul Khalef Abdul Karim, 26, dihukum penjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Dia dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Hafizza Sauni.
Hafizza turut memerintahkan lelaki terbabit dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa mencederakan Siti Aisyah Abdullah Sani, 26, dengan menggunakan sebuah kerusi plastik sehingga menyebabkan wanita tersebut mengalami kecederaan dan kesan lebam di kawasan lengan kiri dan tapak tangan kiri.
Perbuatan tersebut didakwa berlaku di hadapan kaunter tiket No.52, di Terminal Bas Sementara Bukit Jalil di sini pada pukul 5.30 petang, 8 November lalu.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Abdul Khalef yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman ringan kerana telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhammad Sapri Yaakub yang mengendalikan pendakwaan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal.
No comments:
Post a Comment