Saturday, December 11, 2010

JKM

JKM perlu kerap turun padang

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my
RAUB 10 Dis. – Pegawai dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu kerap turun padang terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi mencari dan mendaftar golongan sasar dan miskin untuk diberikan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahirudin Ab. Moin (gambar) berkata, JKM tidak boleh hanya mengharapkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin setempat membantu mendaftar golongan terbabit.

Katanya, jika anggota dan pegawai JKM sendiri turun padang, masalah bantuan kepada golongan terbabit dapat diatasi dengan lebih cepat.

‘‘Dengan turun padang mereka dapat melihat sendiri kedaifan golongan tersebut secara bersemuka dan boleh membuat keputusan segera.

‘‘Jika menunggu laporan dan bancian daripada JKKK, NGO atau pihak lain keputusannya akan mengambil masa yang lebih lama sebelum dapat diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Kebajikan Daerah Raub, di sini hari ini.

Menurut Shahirudin, masih ramai penduduk di daerah ini yang daif dan memerlukan bantuan segera daripada jabatan itu.

Tambahnya, jika dicari dan dikumpulkan tidak kurang 3,000 hingga 5,000 golongan miskin, cacat, anak yatim, ibu tunggal, warga emas, pesakit kronik yang memerlukan bantuan tetapi tidak didaftar dengan JKM.

Tambahnya, sikap tunggu dan lihat perlu dikikis sebaliknya pegawai dan kakitangan jabatan tersebut perlu mencari dan mendaftar segera mereka yang terbabit untuk diberikan bantuan.

Beliau yang juga Ketua UMMO Bahagian Raub berharap, JKM tidak menimbulkan terlalu banyak kerenah birokrasi sehingga ada antara golongan terbabit terus gagal mendapat bantuan.

Shahirudin bagaimanapun menghargai usaha JKM Raub yang berjaya mendaftar dan memberikan bantuan kepada lebih 1,700 golongan sasar dan miskin di daerah itu dalam tempoh tiga tahun ini.

Katanya, sebahagian besar golongan terbabit yang mendapat bantuan JKM kini dapat mengatasi bebanan hidup dan ada yang boleh hidup sendiri dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

No comments:

Post a Comment