Sunday, December 12, 2010

Mat Rempit Tendang Polis

Polis cedera, motosikal ditendang

MUAR 11 Dis. - Seorang anggota polis cedera selepas terjatuh dari motosikal akibat ditendang dua remaja yang menaiki kenderaan sama ketika cuba menahan mereka di Jalan Timbalan, di sini malam semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, Konstabel Mohd. Firdaus Yusri, 20, mengalami luka serta lebam pada tangan dan muka selain kecederaan pada bahagian belakang tubuhnya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, ketika insiden itu, Mohd. Firdaus sedang bertugas dalam operasi cegah jenayah.

Katanya, Mohd. Firdaus kemudian terserempak dengan dua suspek terbabit sedang menunggang motosikal tanpa topi keledar dan dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik sahaja menghampiri motosikal suspek, salah seorang remaja berkenaan menendang motosikalnya dan kedua-kedua kenderaan itu terjatuh di atas jalan.

"Kedua-dua suspek berusia 15 tahun itu cuba melarikan diri namun berjaya diberkas anggota polis lain," katanya kepada pemberita semasa menziarah Mohd. Firdaus di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, di sini hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

No comments:

Post a Comment