Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Friday, December 24, 2010
Nak belajar Tak Mampu
Hasrat Hairul ke IKM terbantut
Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my
AZMI Othman menunjukkan surat tawaran kemasukan IKM yang diterima anaknya, Hairul Anaz di rumahnya di Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor, semalam.
JOHOR BAHRU 23 Dis. - Hasrat seorang remaja dari Taman Cendana, Pasir Gudang dekat sini untuk mengikuti latihan kemahiran mungkin hanya tinggal harapan akibat kemiskinan keluarga.
Tidak sampai tiga minggu lagi Hairul Anaz Azmi, 18, terpaksa mendapatkan wang kira-kira RM1,000 bagi membolehkannya mendaftar ke Institut Kemahiran Mara (IKM) di Kuala Lumpur.
Remaja itu yang menaruh harapan tinggi untuk mengikuti Sijil Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan di institut itu memberitahu, bapanya tidak mampu menyediakan wang tersebut kerana tidak bekerja tambahan pula keluarganya miskin.
"Sepatutnya saya mendaftarkan diri pada 2 Januari ini tetapi minta ditangguhkan sehingga 10 Januari kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran masuk ke IKM tersebut.
"Kami tidak ada wang untuk membayarnya, tambahan pula saya hanya bekerja di sebuah kedai dengan gaji yang kecil," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Walaupun cita-citanya untuk menjadi anggota polis atau chef, tetapi apabila mendapat tawaran itu dia tidak berfikir panjang untuk menerimanya kerana yakin IKM mampu mengubah nasib keluarganya.
Lebih menyedihkan apabila bapanya, Azmi Othman, 57, dan ibunya, Sabiah Yatim, 50, yang uzur tidak mampu bekerja dan hanya tinggal di rumah.
Azmi berkata, dia masih menanggung Hairul dan seorang lagi anaknya yang masih bersekolah rendah dengan wang bantuan sebanyak RM400 sebulan daripada Baitulmal.
"Kehidupan kami amat susah. Kami hanya makan nasi berlauk telur dan ikan masin setiap hari.
"Saya juga tidak mampu membayar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat yang kami diduduki ini lebih sembilan bulan," katanya yang menghidap asma, darah tinggi dan sakit kepala.
Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Hairul yang bernombor 101218347034 atau menghubunginya di talian 017-7781658 atau Azmi di 017-7318553.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment