Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Friday, December 17, 2010
Mutiara dari Penjara
Penawar di tembok penjara
Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my
Johan pertandingan nasyid kumpulan Al-Faizin dari Penjara Seberang Perai membuat persembahan di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bahru, baru-baru ini.
KOTA BHARU 16 Dis. - Banduan menghafaz al-Quran? Tentu ada pihak yang mencebik mendengarnya kerana tidak yakin manusia 'terpalit dosa' mampu melakukan sesuatu yang kebanyakan orang biasa pun tidak pernah mencuba.
Namun bagi sesiapa yang berkesempatan menghadiri Majlis Perujian Hafazan al-Quran Kali Kedua dan Pertandingan Nasyid Kali Keempat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2010 dari 23 hingga 26 November di Penjara Pengkalan Chepa baru-baru ini, pasti terpukau dengan bacaan yang dilantunkan dari tembok penjara.
Keupayaan 69 penghuni penjara seluruh negara termasuk tujuh tahanan juvenil memperdengarkan ayat-ayat yang dihafaz dengan hukum tajwid dan bacaan bertaranum sempurna memukau hadirin sama seperti menghadiri majlis serupa di luar penjara.
Segak berpakaian baju Melayu bagi lelaki dan berbusana muslimah bagi perempuan, wajah-wajah ceria peserta di majlis perujian itu membuktikan al-Quran adalah penawar paling mujarab untuk mengubati penyakit jasmani dan rohani tanpa mengira siapa yang menjadi pendampingnya.
Di atas pentas yang dihias indah dengan lampu berwarna-warni dan bunga-bungaan bak pentas pertandingan musabaqah membaca al-Quran, setiap peserta kelihatan yakin memperdengarkan bacaan masing-masing dan menjawab soalan dikemukakan para hakim.
Benarlah setiap kalam Allah yang dibaca dengan kefahaman dan ikhlas akan membuahkan ketenangan seperti dijanjikan dalam ayat 28 surah ar-Ra'du bermaksud: Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.
Justeru, sebarang proses pemulihan lebih-lebih lagi berkaitan dengan perubahan sikap dan jati diri yang disandarkan pada aspek kerohanian dan keagamaan adalah pilihan yang terbaik.
Sejak tahun lalu, Jabatan Penjara Malaysia memperkenalkan modul hafazan al-Quran dalam pemulihan dan rawatan penghuni beragama Islam di 39 penjara, pusat tahanan dan sekolah pemulihan akhlak seluruh negara.
Statistik terkini mencatatkan bilangan penghuni penjara seramai 34,850 orang dan dari jumlah ini, 19,444 orang adalah penghuni beragama Islam.
Elemen hafazan dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Insan (PPI) dan menjadi sebahagian sistem pembelajaran agama di penjara selain daripada kelas-kelas fardu ain, pengajian iqra' dan tadarus al-Quran.
Pengarah Bahagian Pemulihan dan Rawatan Jabatan Penjara Malaysia, Darussalam Bidin berkata, asas agama yang baik dapat membina jiwa yang kental dan menghalang banduan daripada terjebak dengan perkara menyalahi peraturan dan undang-undang.
"Selain mengajar cara membaca al-Quran, matlamat program hafazan di penjara adalah bagi penghuni mempelajari tafsir dan memahami isi kandungannya.
"Matlamat kita supaya mereka boleh sembahyang dan sekiranya banyak hafazan, mereka boleh ke hadapan menjadi imam.
"Apabila al-Quran sudah ada di dada, sudah tentu mereka lebih yakin dalam mendirikan sembahyang lima waktu dan ia adalah benteng terbaik daripada melakukan perkara yang merosakkan dan dilarang Allah," katanya.
Program yang berlangsung dari 23 hingga 26 November itu juga menyaksikan 11 kumpulan nasyid menunjukkan bakat masing-masing lengkap dengan gaya dan lenggok persembahan.
Pertandingan nasyid dimenangi oleh kumpulan Al-Faizin dari Penjara Seberang Perai, tempat kedua kumpulan Putri Iman dari Penjara Tapah dan tempat ketiga kumpulan An-Nur dari Penjara Kajang.
Dalam perujian hafazan, peserta dibahagikan kepada tiga tahap iaitu tahap satu untuk hafazan surah-surah dalam juzuk 30, tahap dua surah al-Kahfi, as-Sajdah, Yaasin, al-Waqiah dan al-Insan manakala bagi tahap tiga pula surah al-Baqarah, al-Imran, an-Nisa', al-Maidah dan al-An'am.
Hafazan tahap satu kategori lelaki telah dimenangi peserta dari Penjara Penor, Pahang manakala johan wanita dari Sekolah Henry Gurney, Telok Mas. Manakala tahap dua (lelaki dari Pusat Pemulihan Akhlak Machang, wanita dari Penjara Seberang Perai) dan tahap tiga (lelaki dari Penjara Pengkalan Chepa, wanita dari Penjara Wanita Kajang).
Ketua Unit Agama, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Ainuddin Dolhakim yang bertindak sebagai Pengerusi Jemaah Hakim ketika ditemui berkata, barisan hakim seramai sembilan orang bagi perujian hafazan dan empat orang bagi nasyid amat berpuas hati dengan pencapaian penghuni penjara dalam pertandingan itu.
Bagaimanapun katanya, beberapa perkara masih perlu diambil perhatian seperti menjaga hukum-hukum tajwid mudah seperti mad wajib dan mad jaiz serta tempat berhenti (wakaf) dan memulakan bacaan (ibtida') semula.
"Bagi kumpulan nasyid pula harus diingat bahawa fokus bukan sahaja kepada suara solo utama tetapi keharmonian suara dalam kumpulan serta penghasilan lirik yang lebih berkualiti.
"Namun kami amat bangga dengan apa yang dipersembahkan dan berharap hasrat Jabatan Penjara melahirkan penghuni yang mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian akan berjaya," katanya.
Hadir merasmikan majlis penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pengurusan), Datuk Hassan Sakimon.
Turut hadir Pegawai Khas Agama Menteri Dalam Negeri, Datuk Firdaus Ismail; Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Muhammad Zuki Mohd. Zain dan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin.
Mulai tahun depan, Jabatan Penjara akan mengumpulkan banduan yang menunjukkan komitmen dalam bidang hafazan untuk mengikuti kelas hafazan di Penjara Seremban, Negeri Sembilan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment