Pencuri tembak, lapah lembu
KUANTAN 14 Dis. - Sekumpulan pencuri hanya mengambil masa beberapa jam untuk melapah daging dua ekor lembu yang ditembak mereka di Ladang Kelapa Sawit Jarau, Kampung Semangat di sini, Sabtu lalu.
Kejadian itu disedari pemilik haiwan tersebut pukul 9 pagi, selepas mendapati dua daripada 65 ekor lembu peliharaannya hilang manakala empat lagi cedera di leher dan kaki terkena tembakan.
Harun @ Talib Ibrahim, 51, mendakwa, dia yang memeriksa di kawasan itu menemui dua kepala lembu yang telah disembelih bersama kaki dan tali perut.
Katanya, berikutan itu dia kerugian kira-kira RM2,500.
"Saya mengesyaki ada pencuri telah menangkap ternakan saya dan menyembelih lalu dilapah untuk dijual.
"Berdasarkan kesan pada badan lembu yang cedera, pencuri telah menembak lembu itu dengan senapang patah... Mereka sungguh cekap melapah.
"Nasib baik hanya dua ekor lembu berjaya dicuri manakala seekor lagi cedera parah dan tiga lagi cedera ringan. Jika tidak, pasti saya akan rugi besar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Harun percaya kejadian itu dilakukan beberapa suspek antara pukul 12 tengah malam dan awal pagi.
"Penduduk berdekatan ladang memberitahu mereka terdengar bunyi lima das tembakan tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka ada orang yang sedang memburu babi hutan," katanya.
Kata Harun, kejadian tersebut telah menimpa dirinya sebanyak tujuh kali dengan 11 ekor lembunya hilang sejak 1993.
Ketua Kampung Semangat, Mohd. Alim Daud, 51, meminta orang ramai agar tidak membeli daging lembu yang tidak berkepala kerana ia disyaki daging curi.
"Saya bimbang orang-ramai yang tidak tahu akan membeli daging lembu curi. Jika keadaan daging lembu yang dijual mencurigakan, janganlah beli kerana ia mungkin dicuri," ujarnya.
No comments:
Post a Comment