Ibu tunggal perlu rebut peluang niaga
TEMERLOH 22 Dis. - Golongan ibu tunggal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak di sini perlu bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti perniagaan sejajar dengan pembangunan pesat di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, bagi tujuan itu, persatuan ibu tunggal DUN tersebut perlu mempunyai sebuah pusat jualan bagi memasarkan produk seperti kraftangan dan makanan.
Katanya, golongan ibu tunggal tidak boleh berpeluk tubuh sebaliknya perlu membuktikan mampu menjalankan perniagaan yang setanding dengan pihak lain.
"Kita lihat ada ibu tunggal yang mahir dalam jahitan, membuat kek, kerepek, ikan salai, kraftangan dan sebagainya. Tidak salah jika semua barangan itu dipasarkan dalam satu pusat supaya memudahkan orang ramai membelinya.
"Saya yakin jika perkara ini dapat dilaksanakan, ia pasti mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada setiap ibu tunggal untuk menyara anak-anak yang masih bersekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat bersama Persatuan Ibu Tunggal DUN Jenderak dekat sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Temerloh, Juhanis Abdul Aziz dan Pengerusi Ibu Tunggal DUN Jenderak, Siti Zamni Ibrahim.
Mohamed berkata, persatuan ibu tunggal juga perlu aktif mendaftarkan ibu tunggal supaya memudahkan segala bentuk bantuan disalurkan kepada golongan itu.
Katanya, pihaknya sedia membantu menggerakkan perniagaan masing-masing jika ada ibu tunggal di DUN itu mempunyai masalah kewangan.
"Persatuan ini perlu ambil peluang keemasan dengan menjalankan perniagaan menjual produk masing-masing memandangkan pekan Kuala Krau kini semakin pesat membangun," katanya.
Sejak jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di sini dibuka secara rasmi Mac lalu, katanya, ia menyebabkan jumlah kenderaan yang melalui jalan utama Temerloh-Jerantut kian bertambah.
"Jalan utama itu menghubungkan tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran.
"Oleh itu persatuan ini kena segera merebut peluang untuk melariskan jualan masing-masing," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment