Tuesday, December 21, 2010

Bil Letrik RM200


Bil elektrik cecah RM200

KAMPUNG PAYA – Seorang penduduk terpaksa membelanjakan lebih RM200 setiap bulan bagi melunaskan bil lampu jalan yang dipasangnya sendiri sejak dua tahun lalu berikutan permohonan mendapatkan kemudahan itu tidak dihiraukan.

:Syarifah Syarif, 58, berkata, perbelanjaan besar perlu dikeluarkan sendiri bagi membiayai bil lampu jalan di hadapan rumahnya itu.

Menurutnya, sehingga kini sudah banyak wang yang dikeluarkan bagi membiayai bil berkenaan disebabkan permohonan untuk membina lampu jalan di hadapan rumahnya tidak mendapat respons positif daripada semua pihak yang dirujuknya.

"Dua tahun lalu, saya bersama suami mengambil inisiatif untuk memasang sendiri lampu jalan ini dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

"Kos keseluruhan termasuk kerja pemasangan lampu jalan sahaja mencecah RM1,000," katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Syarifah berkata, permohonan bagi kerja pemasangan lampu itu dibuat berikutan lorong kediaman rumahnya bersama lima lagi jiran yang lain tiada kemudahan lampu jalan.

"Kawasan kediaman kami pada waktu malam sangat gelap, ditambah dengan kawasan berhampiran yang dipenuhi belukar.

"Apatah lagi rumah saya terletak di hujung jalan dan paling hampir dengan kawasan belukar," katanya.

Menurutnya, kejadian kecurian dan rompakan juga telah beberapa kali berlaku di sini berikutan kawasan yang gelap serta kawasan belukar memudahkan perompak melarikan diri.

"Ada juga rakan tidak menjumpai lorong kediaman kami disebabkan kawasan yang gelap.

"Walaupun lampu pagar rumah dinyalakan tetapi cahayanya tidak begitu terang," katanya.

Syarifah berkata, lampu jalan yang dipasangnya itu tidak dinyalakan dengan kerap kerana khuatir dengan bil yang tinggi perlu dibayar setiap bulan.

"Saya memohon agar pihak berkenaan dapat membantu penduduk di Lorong Bahagian 2, Kampung Paya bagi menyelesaikan masalah lampu jalan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment