Monday, December 27, 2010

Budaya Kapel

Antara cinta dan penimbaan ilmu
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

BUDAYA berpacaran kian menjadi amalan kebanyakan mahasiswa sebaik saja bergelar warga kampus hingga menimbulkan keresahan masyarakat.

Kebimbangan itu cukup berasas kerana ia bukan saja mampu mencetuskan fenomena gejala sosial tidak terkawal, malah dikhuatiri boleh menyebabkan mahasiswa tergelincir daripada tujuan asal menjejakkan kaki ke menara gading.
Sudahnya, terkandas dalam peperiksaan, emosi terganggu, pembaziran masa dan wang selain potensi dibuang daripada universiti juga ada.

Meskipun sudah tahu risikonya, mahasiswa masih menganggap budaya itu satu kemestian, jika tidak pasti bingit telinga disindir rakan seperjuangan dengan panggilan ‘surat khabar lama’.


Masyarakat pasti tertanya-tanya penting benarkah budaya ini hingga mahasiswa ‘mengagung�kannya’ atau hanya terikut-ikut kerana tidak sanggup dicop ‘tidak laku’?



Bagaimana pula kesannya terhadap mahasiswa, bolehkah membantu mereka mencipta kejayaan dengan dorongan sang kekasih atau sebaliknya?

Penolong Profesor Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, berkata sukar menangkis penularan budaya berpacaran di kalangan mahasiswa kerana sudah menganggapnya sebagai satu kemestian sebaik saja menjejakkan kaki ke menara gading.

Menurutnya, penularan budaya itu sukar dikawal kerana mahasiswa menjadikannya sebagai budaya hidup dengan memberi alasan tertentu supaya diterima masyarakat.

“Disebabkan alasan itulah, budaya ini semakin berkembang dan sukar dihapuskan. Meskipun tahu natijahnya, mereka tidak kisah kerana beranggapan ia satu kemestian dan perlu dilakukan.

“Jika tidak, mereka pastinya disindir atau ditempelak sedangkan banyak lagi tanggungjawab utama perlu dilaksanakan, bukannya sibuk mencari pasangan atau melayan angan - angan yang belum pasti.

“Malangnya itulah yang menjadi keutamaan mahasiswa hari ini hingga menimbulkan kebimbangan bukan saja ibu bapa, tetapi masyarakat yang kadang kala sakit mata melihat aksi kurang sopan mereka di khalayak ramai,” katanya.

Persoalanya mengapa budaya yang tidak digemari masyarakat ini menjadi keutamaan sebahagian besar warga kampus?

Beliau berkata budaya berkenaan sudah dianggap sinonim sebagai lambang kebebasan remaja mencorakkan masa depan tanpa kongkongan ibu bapa apatah lagi kejayaan menjejakkan kaki di menara gading sudah dianggap mampu berfikiran matang.

Atas kepercayaan itu mahasiswa bagaikan berlumba-lumba mencari pasangan bagi membuktikan mereka sudah dewasa selain sudah tiba masanya belajar berdikari dan membuat keputusan.

Terpilih melanjutkan pengajian di menara gading bermakna mereka sudah melangkah ke frasa dewasa, justeru, naluri untuk saling menyayangi timbul meskipun masanya tidak sesuai.

“Pada masa sama, mahu membuktikan mereka ‘laku’, ada peminat serta mampu menarik perhatian rakan berlainan jantina untuk menjalin hubungan ke peringkat serius.

“Ini tidak seharusnya berlaku kerana mahasiswa perlu meletakkan kepentingan utama iaitu menuntut ilmu dan menghabiskan pengajian, bukannya mencari pasangan sekali gus menjalin hubungan terlarang,” katanya sambil menegaskan budaya itu mampu membuat seseorang berisiko terbabit dalam pelbagai masalah luar jangkaan.

“Bayangkan jika pasangan mahasiswa itu bergaduh sedangkan esok ada peperiksaan. Emosi akan terganggu, tidak dapat belajar, sekali gus berdepan risiko gagal dalam pengajian,” kata Dr Mastura.

Tidak nampak faedah mempertahankan atau mementingkan budaya itu kerana jelas mengundang keburukan. Mungkin ada beranggapan diri kuat berdepan cabaran, malangnya aspek membabitkan emosi sukar dikawal.

Ditanya adakah budaya itu mampu menyumbang kepada peningkatan masalah sosial, beliau tidak menafikan malah menganggapnya antara penyumbang terbesar kerana didorong perasaan sayang luar biasa.

“Kebanyakannya masih muda dan terlalu hijau mengenai selok-belok kehidupan. Apabila disogokkan dengan pelbagai pengalaman dan cerita mengenai keseronokan dunia percintaan, mereka yang naif mudah terjebak.

“Meskipun ada mengaku hubungan itu dijalinkan atas paksi ‘bersih’, masih sukar menolak godaan nafsu. Maruah diri tergadai, masa depan juga hancur gara-gara budaya ini,” katanya.

Beliau menyarankan mahasiswa supaya memperteguhkan emosi dan diri untuk lebih fokus kepada pengajian.

“Tidak dinafikan, isu membabitkan perasaan sangat subjektif, tapi mahasiswa perlu kuat dan mempunyai pendirian. Fokus pada tujuan utama dan jangan mudah terpengaruh dengan kejutan budaya.

“Menara gading tempat membina kejayaan hidup masa depan jangan persiakan peluang dengan terjebak kepada perkara merugikan selain tidak perlu terburu-buru memberi komitmen pada pasangan saja.

“Gunakan zaman remaja dengan melakukan perkara berfaedah. Apabila tamat pengajian dan memperoleh pekerjaan, itulah masanya paling sesuai mencari pasangan hidup secara sah,” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

1 comment:

  1. saya tak nafikan ia memg berlaku d mana2 ipta n ipts di seluruh malaysia...budaya berpasgn pun berlaku gak....saya akui cemburu gak melihat mereka berkelakuan begtu,,,,pensyarah pun selalu tekankan hal akademik nb 1,,,hal yg remeh ni ke dua n seterusnya..itu cua pndpt sy je..

    ReplyDelete