Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Tuesday, December 28, 2010
Asrama
Nur Liyana bakal ke SM Tun Fatimah
Siti Nur Liyana Mohd. Kifri dibantu ibunya, Jumiyam Ahmad ketika menyarungkan pakaian baru sekolah selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Tun Fatimah, Johor Bahru.
KULAIJAYA 27 Dis. - Harapan Siti Nur Liyana Mohd. Kifri untuk masuk ke sekolah berasrama penuh akhirnya termakbul apabila mendapat tawaran ke Sekolah Menengah (SM) Tun Fatimah di sini.
Nur Liyana, 12, yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu mengakui berdebar-debar untuk memulakan sesi persekolahan di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) itu pada 5 Januari ini.
"Saya bertekad dan berazam belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib kami sekeluarga sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan yang selama ini membelenggu kami.
"Terima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan terutama selepas cerita kami tersiar dalam Utusan Malaysia lebih seminggu lalu," katanya di sini hari ini.
Pada 17 Disember lalu, Utusan Malaysia menyiarkan hasrat Nur Liyana yang diterima masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor tetapi disebabkan faktor kemiskinan keluarga, tawaran itu terpaksa dilupakan.
Anak kelima daripada enam beradik itu tinggal bersama ibunya, Jumiyam Ahmad, 50, yang merupakan seorang ibu tunggal dan tidak mampu menampung kos pelajaran Nur Liyana.
Jumiyam hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji RM20 sehari selain mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kini menumpang di rumah abangnya yang bocor dan usang.
Nur Liyana berkata, peluang memasuki SM Tun Fatimah tidak akan disia-siakan apatah lagi bukan senang untuk terpilih mengikuti pelajaran di sekolah berkenaan.
Dia dan keluarganya kini sibuk membuat persiapan ke sekolah itu dan semua kelengkapan telah dibeli selepas mendapat sumbangan daripada seorang penderma.
Dalam pada itu, Jumiyam yang telah lapan tahun menjanda bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu meringankan bebannya.
Katanya, sejak cerita mengenai kesengsaraan keluarga disiarkan Utusan Malaysia, ramai pihak berkunjung ke rumahnya bagi menghulurkan bantuan dan prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.
Menurutnya, salah seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Qatar dan membaca kisahnya melalui Utusan Online turut menghubunginya dan memberi sumbangan peribadi.
"Individu ini berasal dari Perak dan tidak mahu dikenali, beliau masukkan duit ke dalam akaun saya dan sanggup memasukkan duit setiap bulan untuk menanggung persekolahan Nur Liyana.
"Saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada hamba Allah ini dan juga Utusan Malaysia kerana membantu. Hanya Allah sahaja dapat membalas jasa baik semua yang membantu," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment