Monday, December 27, 2010

Kejar Pelakon Dengan Parang

Pelakon dikejar dengan parang
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon baru yang memegang watak utama drama dongeng bersiri, Putera Katak yang kini ditayangkan di TV3, terpaksa menempuh detik cemas apabila dikejar sepasang kekasih bersenjatakan parang sejauh lebih dua kilometer.

Kejadian berlaku hanya disebabkan pelakon muda itu, Mohd Hanif Karamdin, 27, memintas kereta dinaiki pasangan terbabit ketika melalui Lebuhraya Duta Hulu Klang (Duke) menuju Ampang, di sini, Jumaat lalu.


Bagaimanapun, dia yang menggunakan nama komersial Haniff bernasib baik apabila dapat meloloskan diri sebelum bergegas ke balai polis membuat laporan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Haniff berkata, dia dalam perjalanan dari Kelana Jaya ke rumahnya pada mulanya mengekori sebuah kereta Honda City.


“Disebabkan kereta itu dipandu terlalu perlahan, saya memberi isyarat lampu sebelum memotong kenderaan berkenaan. “Tiba-tiba pemandunya membunyikan hon dan mengejar saya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurut Haniff, pada mulanya dia tidak mempedulikan tindakan itu, namun pemandu kereta itu menghimpit keretanya sebelum menunjukkan parang.

“Ketika itu, saya lihat dia (pemandu) bersama seorang wanit. Saya yakin mereka pasangan kekasih,” katanya.


Haniff berkata, bimbangkan keselamatannya dia memecut keretanya, namun pasangan terbabit mengejar sambil menunjukkan parang ke arahnya.


“Berderau darah saya dibuatnya...apa lagi dengan perasaan takut dan pelik mengenai sikap pasangan kekasih itu, saya pecut sehinggalah tiba di susur keluar menuju Ampang.


“Pasangan itu yang pada mulanya mengekori rapat di belakang kereta saya mungkin terlepas pandang menyebabkan saya dapat meloloskan diri,” katanya.


Haniff pergi ke Balai Polis Taman Melawati membuat laporan sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan lanjut.


Dia yang pernah membintangi beberapa drama bersiri seperti Siong, Kelab Jeng Jeng dan Jelatang berkata, laporan polis dibuat kerana bimbang lelaki tidak dikenalinya itu mungkin melakukan perkara tidak diingini kemudian hari.


“Kejadian seperti ini pertama kali berlaku terhadap saya. Saya berharap pengguna lebuh raya lain lebih berdisiplin dan menggunakan diplomasi untuk menyelesaikan masalah, bukannya dengan kekerasan,” katanya.


Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


“Sehingga kini, suspek belum ditahan, namun usaha mengesannya giat dijalankan,” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment