Saturday, December 11, 2010

NV

Nouvelle Beauty diperintah jual bangunan RM3 juta

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Syarikat milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya terpaksa `melepaskan' hartanah milik mereka yang bernilai RM3 juta kepada dua ahli perniagaan ekoran terikat dengan surat tawaran yang telah dipersetujui April lalu.

Tidak cukup dengan itu, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (NVC) juga diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi hari ini untuk membayar kos RM15,000 kepada plaintif, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52.

Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof memutuskan demikian di kamar beliau di sini selepas membenarkan permohonan pasangan suami isteri itu untuk mendapatkan penghakiman terus ekoran NVC selaku defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan terhadap tuntutan saman itu.

Pihak plaintif diwakili oleh peguam, Karena Tang Shiau Hui manakala peguam, Mohd. Hadi Ar Rais Muhamad hadir mewakili defendan.

Menurut Shiau Hui, dengan keputusan hari ini, NVC wajib meneruskan proses jual beli tanah seluas 144.9 meter persegi bersama sebuah bangunan empat tingkat yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Selain perlu menandatangani perjanjian jual beli hartanah terbabit dalam tempoh 14 hari, defendan juga perlu menyerahkan segala dokumen berkaitan dengan urusan tersebut kepada plaintif.

Menurut writ saman yang difailkan pada 5 Ogos lalu, pasangan suami isteri itu mendakwa, NVC bersetuju menjual hartanah terbabit dan cengkeram sebanyak RM60,000 juga dibayar sewaktu surat tawaran penjualan hartanah itu ditandatangani.

Baki deposit sebanyak RM240,000 akan dibayar plaintif apabila perjanjian jual beli ditandatangani, manakala baki bayaran penuh sebanyak RM2.7 juta lagi dibayar dalam tempoh 90 hari selepas perjanjian itu dimeterai.

No comments:

Post a Comment