Wednesday, December 29, 2010

3 Mak



'Saya ada tiga mak'
Oleh Kusyi Hirdan


EMAK KANDUNG...Roslinda dan ibu kandung.

AKRAB...bersama ibu saudara yang juga dipanggil emak.
ROSLINDA Abu Bakar, 27, dibesarkan di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, Melaka.

Walaupun kini sudah bermastautin di Kuala Lumpur mengikut suaminya, kampung itu sentiasa sebati dalam hatinya. Manakan tidak, di situ ada seluruh keluarganya. Dia situ juga ada tiga wanita yang dipanggilnya 'emak'.


"Emak pertama saya ialah emak kandung saya, Foziyah Othman. Emak kedua pula Allahyarham Maharani Mohamad iaitu nenek saya sebelah emak.

"Dengan nenek inilah saya tinggal sejak kecil, bertanggungjawab menjaga dan membesarkan saya.

"Emak ketiga pula ialah Raimah Othman iaitu emak saudara saya, kakak kepada ibu kandung saya sendiri," katanya.

Memang apa yang dilalui Roslinda amat istimewa.

Dia dipelihara arwah neneknya kerana penyakit ganjil yang dialami selepas dilahirkan.

"Menurut kata arwah nenek yang saya panggil 'mak', saya mengalami sejenis penyakit ketika bayi. Waktu itu keadaan saya sangat kritikal.


"Berbulan-bulan saya ditahan di wad, tapi doktor masih tidak dapat memulihkan keadaan saya. Menurut cerita arwah nenek lagi, doktor mengesahkan keadaan saya 50 peratus sahaja untuk hidup," katanya.


Namun nenek Roslinda tidak patah semangat lantas meminta kebenaran untuk membawa cucu yang kecil itu pulang.

"Mulai saat itu nenek membawa saya berubat tradisional sehingga berjaya dan sejak itu saya terus tinggal dengannya.

"Emak kandung pula terpaksa mengikut arwah ayah merantau kerana ketika itu bertugas sebagai pegawai Felda di Pahang," katanya.


'Emak' ketiga Roslinda, mak ciknya Raimah Othman, turut dipanggilnya 'mak' kerana kerapatan sejak kecil lagi.

"Rumah pula dekat jadi sering berulang-alik. Lagipun masa saya sakit, mak cik pun selalu tolong nenek menjaga saya.

"Dari situ, kadang-kadang waktu malam saya bergilir-gilir tidur rumah mak cik dan rumah nenek. Sekiranya ada masalah dengan kerja sekolah, saya selalu bertanya arwah suami mak cik Raimah yang saya panggil Abah Salleh," katanya.


Kawan Roslinda ramai yang mengetahui hakikat dirinya yang mempunyai ramai ibu.


"Mereka kata seronok ada ramai emak. Kasih sayang melimpah-ruah. Dapat duit yang banyak. Sebenarnya bab duit itu tidaklah benar kerana saya datang daripada keluarga yang sederhana. Adik-beradik ramai.

"Gaji ayah tidak dapat menampung perbelanjaan semua adik-beradik. Arwah nenek pula hanya membuat kerja kampung berniaga kecil-kecilan.

"Jadi saya rasa, saya sama saja dengan orang lain dalam melalui kehidupan zaman kecil dan remaja," katanya.


Bagi Roslinda, kasih sayang semua emaknya sangat istimewa di hatinya. Setelah berkeluarga, anaknya pula merasai situasi sama.


"Anak saya Muhammad Zafrul Imran mempunyai empat nenek termasuk emak mentua. Suami juga sudah faham yang dia mempunyai dua emak mentua iaitu emak kandung saya dan emak saudara saya," katanya.


Teringat Roslinda kenangan yang agak lucu ketika zaman persekolahan.


"Masa zaman belajar dulu, banyak benda yang saya idamkan. Jadi, sekiranya minta pada nenek tak dapat, saya cuba minta dengan emak.

"Kalau tak dapat juga minta pula dengan mak cik. Kalau tiga-tiga tak beri, saya merajuk, tapi tak lama," katanya.


Masa remaja memang dia agak manja dan nakal, tetapi setelah berkahwin, Roslinda tahu dia sudah tidak begitu lagi.


"Apabila sudah kahwin, sudah pandai berfikir dan matang, rasa kasihan pula dengan emak saya yang dulu jenuh melayan kerenah saya," katanya.


Ada tiga emak, bagaimana membahagi kasih?

"Memang agak sukar untuk adil dan menjaga hati. Bila tiba hari raya pening juga kepala fikir rumah siapa nak balik atau singgah dulu. Tetapi saya perlu hadapi semua ini dan kena berhati-hati bercakap agar tiada hati yang terluka," katanya.


Apa yang pasti, Roslinda, isteri kepada Mohd Efendi Jamaludin sangat mengasihi semua emaknya sepenuh hati dan merekalah insan yang paling bermakna dalam hidupnya kini. Kasih sayang ketiga-tiga emak itu amat membahagiakannya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment