BUKTI SPRM TIDAK PILIH BULU
PELBAGAI reaksi diutarakan masyarakat berhubung pertuduhan yang dibuat ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Ada yang terkejut dan ada juga yang sinis mengatakan ia propaganda dan sandiwara Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Selama ini, masyarakat ternanti-nanti keputusan dan tindakan lanjut ke atas hasil siasatan yang dijalankan pihak berkuasa terhadap golongan `ikan-ikan jerung’ ini.
Namun, penantian itu telah diambil kesempatan oleh sesetengah pihak dengan menaburkan dakyah-dakyah politik. Mereka mengatakan tidak akan ada keputusan kerana pihak yang berwajib adalah alat dan di bawah telunjuk kerajaan BN. Pendakwaan ke atas bekas Menteri Besar Selangor rupanya tidak dapat menutup mulut segelintir pihak yang selama ini menabur pelbagai fitnah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Peguam Negara.
Terkini, selepas pendakwaan dibuat, heboh pula dikatakan yang ia adalah gimik politik, sandiwara dan kempen PRU-13. Pandangan dan komen-komen yang dibuat dalam laman-laman blog dan media portal cukup menjijikkan dan amat merbahaya kerana ia boleh mempengaruhi pandangan generasi muda terhadap imej dan kredibiliti agensi kerajaan khasnya dan kerajaan amnya. Bukanlah tujuan saya untuk menidakkan hak bersuara, namun ia memerlukan batas-batas tertentu dan tidak mengikut hawa nafsu semata-mata.
Tahniah saya ucapkan kepada SPRM atas kerja keras yang ditunjukkan selama ini. Saya berharap masyarakat juga harus menghargai peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh agensi ini. Yang baik kita harus berikan pujian dan menghargainya. Teguran masyarakat wajar dijadikan iktibar dan panduan untuk menjadikan SPRM lebih teguh dan perkasa.
NABIL IZZAT
Seremban, Negeri Sembilan
No comments:
Post a Comment