Saturday, December 11, 2010

Karib Sampai Mati

Hidup akrab mati bersama
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MELAKA: “Jika ke mana-mana mereka biasanya selalu pergi bersama-sama. Saya tidak sangka ditakdirkan ajal mereka pun bersama-sama juga,” kata suri rumah, Rozi Samad, 30, mengenai dua anak saudaranya yang terbunuh dalam kemalangan ngeri awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, Muhammad Faiz Rosli, 18, yang mesra disapa along dan adiknya, Muhammad Faizal, 16, (angah) terbunuh selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda dinaiki mereka dikatakan berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Kembara di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai, dekat sini.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta berkenaan yang dipandu, Kamis Saat, 62, dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Rambai, sebaik tiba di tempat kejadian dikatakan melanggar bahagian depan motosikal dinaiki dua beradik dari arah bertentangan (arah Ayer Salak).

Akibat perlanggaran itu, Muhammad Faizal yang menunggang dan abangnya (pembonceng) maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami manakala pemandu Kembara tidak mengalami kecederaan.



Rozi yang sebak dan tidak dapat menahan air mata berkata, dia amat terkejut dengan kejadian menimpa kedua-dua anak saudaranya itu apabila dihubungi abangnya (bapa mangsa).


Katanya, dia paling rapat dengan Muhammad Faiz kerana sejak kecil dipelihara ibunya sebelum diambil keluarganya semula apabila bersekolah menengah.

“Kali terakhir saya berjumpa along, kira-kira dua minggu lalu ketika dia menghadiri majlis kenduri sepupunya. Masih terngiang-ngiang di telinga saya, apabila hendak balik ke rumah, dia menyapa saya dengan mengatakan’ Along balik dulu’. Itulah kali terakhir saya berjumpanya.

“Along dan angah ini bersifat pendiam namun baik dan mesra dengan ahli keluarga. Memang sudah ajal, saya terima dengan reda,” katanya, ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka (HM), pagi semalam.
Sementara itu, bapa mangsa, Rosli Samad, 42, turut mengesahkan kedua-dua anak lelakinya itu sangat rapat dan sering bersama ke mana saja termasuk ke kedai.

Beliau yang juga pemandu lori di sebuah kilang di Pengkalan Balak, Masjid Tanah bagaimanapun berkata, tidak perasan perubahan pada sikap kedua-dua anaknya itu.

Menurutnya, anak sulungnya itu juga sering menghantar dan mengambil adiknya itu pulang dari kerja jika sepupu mereka yang bekerja di tempat sama bercuti.
“Pagi tadi (semalam) mereka berdua keluar dari rumah di Taman Tanjung Minyak Setia, Bukit Rambai, kira-kira jam 4 pagi tanpa memberitahu hendak pergi ke mana.

“Angah (Muhammad Faizal) baru saja balik dari kerja kira-kira jam 3 pagi, sebelum keluar semula bersama abangnya. Isteri saya (Dahlia Wahab, 40,) ada bertanya ke mana mereka mahu pergi, namun mereka tidak menjawabnya.

“Isteri saya juga tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka selalunya keluar untuk pergi ke kedai berdekatan dan akan pulang dalam masa setengah jam,” katanya ketika ditemui menunggu jenazah anaknya itu.

Beliau berkata, Muhammad Faiz yang bersekolah tingkatan lima Sekolah Menengah Klebang, dekat sini sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala anak keduanya sudah berhenti sekolah sejak 2009 dan bekerja di sebuah restoran di Melaka Raya.

“Saya dan isteri amat bimbang apabila mereka tidak balik ke rumah hingga menjelang jam 6 pagi. Saya cuba beberapa kali menelefon sebelum menyedari telefon bimbit mereka ditinggalkan di rumah.

“Ketika keluar bekerja, kira-kira jam 7 pagi saya masih menelefon namun, masih tidak berjawab. Hanya anak perempuan saya yang berusia 14 tahun ada di rumah manakala anak bongsu dijaga di rumah kakak saya.

“Kira-kira jam 10.30 pagi ketika berada di Puspakom Alor Gajah, saya dihubungi anggota polis memaklumkan kedua-dua anak lelaki saya terbabit kemalangan maut dan saya terus menuju ke sini (hospital),” katanya.

Beliau berkata dia tergamam mendengar berita sedih itu namun tabah dengan ketentuan Ilahi.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poon Nam E Kling, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

No comments:

Post a Comment