Thursday, December 16, 2010

Masalah JPJ

Bayar saman atas ketidakcekapan komputer PDRM

BILA membaca luahan Robin Hood Gemereh Segamat dalam ruangan Forum pada 15 Disember 2010 bertajuk Saman trafik lama sudah dilangsai masih perlu dibayar amat meruntun kesayuan, kekecewaan dan kemarahan hati saya.

Ketika menyemak senarai saman untuk dibayar, ekoran tawaran istimewa 50 peratus oleh kerajaan bagi tujuan membaharui cukai jalan minggu lepas, saya berasa amat kecewa.

Bayangkan saman yang telah dilangsaikan tahun 2002 masih terpacak dan terpampang dalam cetakan saman PDRM. Dua kereta yang telah dijual lapan tahun lepas masih menjadi igauan saman.

Saya yakin telah membayar saman tersebut dan diberi resit perakuan bayar berlogo PDRM berwarna biru yang masih segar dalam ingatan. Ia adalah ekoran saya telah disenaraihitamkan untuk membaharui cukai jalan, tambahan pula pada masa itu PDRM telah mengadakan operasi bukan sahaja menyenaraihitam pesalah saman ekor malah operasi menahan pesalah trafik di rumah atau di pejabat.

Apakah barang kali ketidakcerdikan saya tidak menyimpan resit yang berusia hampir lapan tahun atau ketidakkecekapan sistem komputer PDRM yang menyebabkan saya dan ramai lagi menjadi mangsa untuk melangsaikan saman yang telah dibayar.

Adakah pengiktirafan ISO 9001: 2000 dalam kepala surat Cawangan Trafik PDRM hanya hiasan sahaja tanpa memenuhi amalan Prosedur Kerja Wajib, Prosedur Kerja Sokongan dan Prosedur Kerja Operasi menyebabkan kami menjadi mangsa.

Betul undang-undang menyatakan mesti dibuktikan dengan resit pembayaran tetapi ada masanya pertimbangan akal juga penting dalam merasionalkan kebenaran telah membayar saman tersebut.

Contohnya, bagaimana boleh saya membaharui cukai jalan dan lesen sekiranya saya disenaraihitamkan dalam operasi tahun-tahun lepas.

Bebanan untuk membayar saman yang telah dibayar mencecah ribuan ringgit, ditambah pula dengan bebanan persiapan belanja anak-anak ke sekolah dan persiapan perkahwinan anak. Alahai takdir atas ketidakcekapan komputer PDRM.

Kini masih mencari wang untuk bayar saman yang telah dibayar.

PESALAH TRAFIK ANIAYA

Sungai Buloh, Selangor

No comments:

Post a Comment