Blog bantu warga kota
Oleh ARDYHANSAH AMAT
kota@utusan.com.my
Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin beramah mesra dengan kanak-kanak yang melayari laman BlogforFT Cares! selepas majlis pelancaran blog itu di Bangsar, kelmarin. - UTUSAN/Mohd. Naim Aziz
KUALA LUMPUR 12 Dis. - Dengan hanya satu klik pada butang 'Like' di laman web popular facebook dan twitter tertentu, anda sudah menyumbang ke arah pembentukan hidup yang sejahtera dan maju di Wilayah Persekutuan.
Itulah matlamat Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menerusi BlogforFT Cares! yang turut mendapat kerjasama beberapa selebriti.
Menerusi program itu, orang ramai hanya perlu mengklik pada butang 'Like' bagi membantu setiap selebriti kegemaran mereka mengumpul dana bagi setiap program merangkumi latihan kemahiran, kesihatan dan alam sekitar.
Penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza, siri kartun popular negara, Upin dan Ipin serta pelakon dan model, Steve Yap akan terlibat dalam mempromosikan program berkenaan di laman facebook dan twitter masing-masing.
Apabila 10,000 'Like' berjaya dikumpulkan, sebanyak RM25,000 akan disumbangkan oleh penaja korporat kepada tabung khas Yayasan Wilayah Persekutuan.
Dana itu akan digunakan untuk tiga program akan dilaksanakan iaitu menyediakan latihan vokasional bagi memperkasakan penduduk bandar miskin dengan kemahiran yang boleh menjadi penjana pendapatan.
Di samping itu, usaha meningkatkan kesedaran dan program pendidikan mengenai denggi juga akan dilaksanakan serta meningkatkan pembabitan dalam menghijaukan Wilayah Persekutuan menerusi penanaman pokok.
Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, program berkenaan adalah kesinambungan program Blog for FT yang diadakan pada tahun lalu.
Katanya, jika orang ramai digalakkan menulis blog secara positif mengenai Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam program yang lalu, program tahun ini berlainan sedikit.
"Kita akan memfokuskan kepada beberapa perkara iaitu menyediakan latihan kemahiran, meningkatkan kesedaran tentang denggi dan juga usaha penghijauan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program BlogforFT Cares! di sini semalam.
Tambah Raja Nong Chik, pihaknya mensasarkan RM150,000 untuk dikumpul selama kempen itu berlangsung sehingga 11 Februari tahun hadapan.
Untuk maklumat mengenai program itu boleh layari www.facebook. com/pages/Blog4FT atau www.blog4ft. com.
Mengenai peruntukan sebanyak RM5 juta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menyelenggara rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, beliau berkata, ia bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan.
"Golongan yang tinggal di projek perumahan terbabit adalah golongan yang kurang berkemampuan dan bantuan ini akan meringankan beban mereka," katanya.
Peruntukan itu adalah untuk bayaran kos penyelenggaraan sebanyak RM45 sebulan untuk tempoh enam bulan.
Pada majlis itu, Raja Nong Chik juga melancarkan Daily Mail KL dan edisi Putrajaya, akhbar komuniti yang memaparkan acara, isu dan perkara berkaitan dengan Wilayah Persekutuan.
No comments:
Post a Comment