Sunday, December 12, 2010

Silap Teknik Da

Kesilapan teknikal, dua keluarga pengantin nyaris bergaduh

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Gara-gara kesilapan teknikal yang dilakukan pusat komuniti Taman Danau Desa berhubung tempahan penggunaan dewan, dua buah keluarga hampir bergaduh setelah mendapati tarikh mengadakan majlis perkahwinan masing- masing bertindan.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi ini ketika kedua-dua pihak memasuki dewan untuk membuat persiapan akhir.

Wakil salah satu pasangan pengantin, Mohd. Riduan Mizan berkata, kejadian berpunca daripada kecuaian pihak pengurusan tersebut yang menyusun jadual tempahan dewan berkenaan tanpa melakukan semakan semula.

"Apa yang berlaku cuma salah faham berpunca daripada kelemahan pihak pengurusan tersebut.

"Disebabkan kecuaian mereka, bukan sahaja nyaris berlaku pergaduhan antara kedua-dua keluarga malah perkahwinan adik perempuan saya hampir ditangguhkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, pihaknya mengambil keputusan untuk mengadakan majlis perkahwinan tersebut di bilik mesyuarat.

"Mujurlah, keluarga kami tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dan mengambil keputusan memindahkan majlis ke bilik mesyuarat bersebelahan dengan dewan utama itu," katanya lagi.

Beliau yang juga kakitangan sebuah bank di Shah Alam berkata, akibat kesulitan dialami mereka, ibu dan adik perempuannya mengalami tekanan emosi kerana bimbang sekiranya majlis perkahwinan berkenaan tidak dapat diadakan.

"Ibu saya pengsan akibat terlalu bimbang majlis tersebut tidak berjalan lancar seperti dirancangkan.

"Adik perempuan saya juga kecewa dengan apa berlaku malah saudara mara yang datang pun bertanya mengapa majlis dibuat dalam keadaan bilik kecil dan sempit.

"Namun, secara keseluruhannya majlis tetap berjalan lancar walaupun tidak seperti apa yang dirancang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yang merasa tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sejurus selepas kejadian.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi hari ini mengesahkan telah menerima laporan polis dari kedua-dua keluarga pengantin.

"Satu laporan dibuat pada pukul 9.53 pagi oleh seorang wanita dari Taman Danau Desa, manakala satu laporan lagi dibuat oleh seorang lelaki dari Pantai Dalam pada pukul 10.45 pagi," katanya.

No comments:

Post a Comment