Saturday, December 11, 2010

Makan Maggie Dulu Lepas Samun

Masak, makan mi segera ketika samun


KOTA BELUD: Lima penyamun lapar sempat menjamu selera dengan memasak mi segera sebelum melarikan diri dengan hasil samun mereka ketika memecah masuk rumah seorang peniaga di Kampung Tombol di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, penjenayah terbabit mengambil kesempatan menjamu selera selepas mengurung dan mengikat semua lima anggota keluarga mangsa dalam sebuah bilik.


Difahamkan, mereka memasuki rumah terbabit melalui pintu belakang sebelum mengejutkan peniaga berusia 40 tahun bersama isteri serta tiga anak dan mengikat lalu mengurung mereka dalam sebuah bilik.

Seorang daripada suspek ditugaskan mengawal mangsa dalam bilik berkenaan, manakala empat yang lain menggeledah rumah mangsa mencari barangan berharga.


Sebaik menemui barang berharga seperti barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai RM900, seorang daripada mereka menuju ke dapur.


Menurut sumber, seorang suspek sempat memasak mi segera untuk dimakan bersama rakannya yang lain sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan yang diletakkan di luar rumah mangsa.


Ketua Polis Daerah Kota Belud, Deputi Superintendan Mohan Nadasan berkata, siasatan awal mendapati penjenayah terbabit mengumpil pintu belakang sebelum memasuki rumah berkenaan.


“Ketika kejadian, semua penghuni rumah sedang tidur sebelum dikejut dan diikat lalu dikurung di dalam sebuah bilik.

“Selain melarikan barang berharga milik mangsa, penjenayah berkenaan sempat memasak dan menjamu selera di rumah suspek,” katanya.


Mohan berkata, sehari selepas itu, polis menerima laporan mengenai kegiatan samun di Kampung Peladok yang dipercayai turut dilakukan kumpulan penjenayah sama.


“Kejadian berlaku jam 4 pagi menyebabkan mangsa kerugian wang tunai RM1,500 dan telefon bimbit. Polis yakin semua penjenayah berkenaan adalah kumpulan sama berdasarkan taktik serta bilangan ahlinya,” katanya.


Katanya, polis kini giat mengesan semua mereka termasuk seorang daripadanya sudah dikenal pasti.

No comments:

Post a Comment