Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Saturday, December 11, 2010
Bas Wanita
Perluaskan bas wanita
Oleh Roslah Othman
kota@utusan.com.my
PENGENALAN bas khas untuk wanita oleh RapidKL menjanjikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat kepada golongan tersebut.
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Usaha Rangkaian Pengangkutan Intergrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) memperkenalkan bas khas untuk wanita ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kaum itu.
Orang ramai yang ditemui menyifatkan langkah itu tepat pada masanya dan sesuai dengan senario semasa di mana semakin ramai golongan wanita menggunakan perkhidmatan bas terutama untuk ke pejabat.
Mereka berkata, pengasingan pengangkutan mengikut gender mampu mengelakkan kaum itu daripada menjadi sasaran gangguan seksual khususnya pada waktu puncak.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, secara keseluruhannya, kaum wanita dilihat benar-benar mengambil peluang untuk menggunakan kemudahan yang disediakan itu.
Utusan Malaysia yang turut menaiki perkhidmatan bagi laluan U41 bermula Pasar Seni hingga ke Kajang mendapati keadaan di dalam bas sememangnya jauh berbeza dengan keadaan bas RapidKL biasa.
Ia nampak lebih selesa dan selamat. Raut wajah penumpang juga mencerminkan keyakinan, malah mereka masih mampu melemparkan senyuman sekalipun terperangkap lebih satu jam untuk keluar dari ibu kota kerana hujan lebat.
Rapid KL mula memperkenalkan perkhidmatan itu secara ujian selama sebulan bermula awal bulan ini bagi mempromosikan keselamatan pelanggan dari kalangan golongan itu.
Bas untuk wanita itu merupakan perkhidmatan tambah nilai yang tidak akan mengganggu kekerapan serta jumlah bas normal syarikat itu.
Ketua Pegawai Operasi Bas RapidKL, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, perkhidmatan khas itu bertujuan menyediakan suasana yang lebih selesa dan selamat kepada golongan wanita.
"Ini adalah berdasarkan kepada maklum balas yang kami terima daripada pelanggan terutama wanita yang berdepan dengan situasi tidak selesa ketika menaiki bas pada waktu puncak," katanya.
Walaupun bas berkenaan khusus untuk wanita sahaja, kanak-kanak lelaki bawah usia 12 tahun dibenarkan menaikinya dengan ditemani ibu atau saudara perempuan mereka.
Ikon 'Wanita Sahaja' dipamerkan pada bas iaitu di cermin hadapan, tingkap, pintu dan skrin LED untuk membezakannya dengan bas normal.
Inisiatif terbaru itu adalah salah satu usaha ke arah mencapai Pelan Menuju Ke Hadapan Prasarana (GFP) dengan lebih cepat.
Sementara itu, seorang pelajar, Alvania Ayu, 20, berkata, pengenalan bas khas untuk wanita itu disifatkan sebagai satu langkah menghormati martabat golongan itu.
Penuntut salah sebuah universiti tempatan yang berasal dari Indonesia itu mengakui berasa amat selesa dan selamat menaiki bas tersebut.
Pendapat Alvania turut dipersetujui S. Dewi, 43, yang sering menggunakan perkhidmatan bas di Hab Pasar Seni untuk ke Cheras bagi menjemput anaknya yang belajar di salah sebuah kolej di ibu kota.
Dia turut berharap RapidKL akan dapat meneruskan serta memperluaskan jaringan laluan bas bagi membolehkan lebih ramai wanita menerima manfaatnya.
"Sebagai pengguna RapidKL setiap hari, usaha ini adalah sesuatu yang amat baik demi memberi keselesaan kepada golongan wanita,'' ujarnya.
Sementara itu, bagi Siti Hanifah Idris, 58, langkah itu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang sering menjadi mangsa gangguan mereka yang tidak bertanggungjawab.
Pendapat sama dilontarkan Alice Liew, 72, dan dia melihat langkah RapidKL memperkenalkan bas khas untuk wanita sebagai sesuatu yang amat baik dan wajar dicontohi oleh syarikat bas yang lain.
Mohd. Nor Ibrahim, 55, pula berpendapat usaha itu membuktikan keprihatinan pihak berkenaan melindungi dan memelihara kepentingan wanita dengan mewujudkan persekitaran selamat.
Bagaimanapun, dia turut meminta RapidKL agar mempertimbangkan beberapa perkara termasuk menambah laluan serta waktu perjalanan agak tidak jauh berbeza dengan bas biasa.
"Saya dan isteri merupakan pengguna bas RapidKL setiap hari. Sejak diperkenalkan, saya terpaksa membiarkan isteri menaiki dahulu bas dan saya pula terpaksa menunggu bas biasa dalam tempoh agak lama,'' ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pemandu bas khas wanita berkata, memang berlaku kejadian penumpang lelaki tersilap menaiki bas yang dikhaskan untuk wanita itu.
"Ini biasa. Sudah adat jika mahu memperkenalkan benda baru tetapi keadaan itu kini semakin kurang,'' katanya yang enggan dikenali.
Katanya, kekeliruan di kalangan penumpang lelaki kini berkurangan dengan adanya tanda khas yang diletakkan di hadapan bas.
Kaum wanita juga meminta RapidKL lebih tegas agar kejadian bas dicerobohi kaum lelaki seperti yang sering berlaku dalam perkhidmatan KTM Komuter tidak berulang.
Namun, mereka percaya langkah itu lebih mudah dilakukan kerana jumlah penumpang yang lebih kecil dan bas RapidKL boleh menggunakan hanya satu pintu berbanding banyak pintu pada koc komuter.
Sepanjang tempoh ujian itu, perkhidmatan itu disediakan di tujuh laluan pada pukul 6.45 dan 7.30 pagi serta 6 dan 6.45 petang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment