Wednesday, December 22, 2010

Jurubahasa Pun Ambik Rasuah

Jurubahasa mahkamah dipenjara dua tahun, denda

SHAH ALAM 21 Dis. - Seorang jurubahasa mahkamah dihukum penjara dua tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan bersetuju menerima suapan RM3,000 enam tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh turut memerintahkan M. Vasanthakumar, 40, dipenjara enam bulan lagi jika dia gagal menjelaskan denda tersebut.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuannya di Mahkamah Tinggi selesai.

Lelaki itu turut diberi tempoh sehingga pukul 2.30 petang esok untuk menjelaskan denda tersebut.

Vasanthakumar didakwa bersetuju menerima RM3,000 daripada M. Manikavasagam di bilik jurubahasa Mahkamah Sesyen Klang, Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini pada pukul 12.45 tengah hari, 5 Januari 2004.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tertuduh mengubah nota keterangan bagi meringankan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Klang terhadap dua adik ipar Manikavasagam di peringkat rayuan.

Dia dibicara mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Mazni Noh yang menyebut bagi pihak pegawai pendakwa Azwar Azhar.

Terdahulu, peguam Haniff Khatri Abdulla memohon agar hukuman terhadap anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh mempunyai isteri, anak berusia lima tahun dan ibu yang perlu disara.

Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh telah berkhidmat sebagai jurubahasa di mahkamah sejak 17 tahun lalu.

Sementara Ahmad Mazni pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran selain perbuatan yang dilakukan adalah kesalahan serius.

No comments:

Post a Comment