Wednesday, December 22, 2010

Jambatan Roboh


Treler 'tersangkut' di Jambatan Sungai Tembioh

ORANG ramai melihat keadaan treler yang terperlus rodanya di lantai jambatan kayu Sungai Tembioh, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI 21 Dis. - Jambatan kayu yang uzur merentangi Sungai Tembioh di sini hampir runtuh apabila sebuah treler yang membawa muatan berat 'tersangkut' semasa melaluinya semalam.

Semasa kejadian, treler tersebut membawa batang cerucuk konkrit dan akibatnya, roda kenderaan itu 'terperosok' di lantai jambatan yang reput.

Ini menyebabkan treler tersebut menghalang kenderaan lain daripada melaluinya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati struktur tiang kayu jambatan selebar empat meter itu telah uzur dan reput serta berisiko jika kenderaan berat melaluinya.

Kampung Tembioh yang terletak di pinggir bandar ini mempunyai 300 penduduk dan jambatan berkenaan merupakan satu-satunya laluan penghubung bagi penduduk untuk keluar masuk.

Menurut penduduk, jambatan kayu itu pada asalnya dibina oleh pengusaha sebuah kilang papan yang beroperasi di kampung berkenaan pada tahun 1960-an, namun kilang itu telah berpindah ke Jalan Mawai di sini sejak dua tahun lalu.

Pemandu treler, Shahrin Abdul Rahman, 48, memberitahu, dia diminta untuk menghantar cerucuk konkrit berkenaan untuk memudahkan kerja menanam cerucuk tapak jambatan baru di situ.

"Ketika memandu atas jambatan itu, treler itu menyenget ke kiri, saya turun untuk menyiasat dan mendapati kesemua 12 batang cerucuk itu telah terjatuh ke Sungai Tembioh yang menghubungi Sungai Johor di sini sebaik roda kiri treler itu termasuk ke lantai kayu jambatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md. Ariff yang meninjau keadaan jambatan itu bersama ahli Majlis Daerah Kota Tinggi berkata, jambatan itu akan digantikan dengan sebuah jambatan konkrit selebar 11.9 meter yang dibina dengan kos RM1.7 juta Oktober lalu dan jangka siap Mei tahun depan.

Asiah berkata, sebelum ini terdapat satu papan tanda pemberitahuan kenderaan yang melebihi lima tan tidak dibenarkan melalui jambatan itu.

"Usaha mengalihkan treler itu dan kerja membaiki lantai jambatan sedang dijalankan bagi membolehkan penduduk meneruskan urusan harian mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment