Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Wednesday, December 8, 2010
Penuntut Asing
80 penuntut asing teruja kehidupan peneroka
Sebahagian mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersama keluarga angkat di Felda Jengka 7, Maran, baru-baru ini.
MARAN 7 Dis. - Seramai 80 penuntut asing Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengadakan Program Bakti Siswa di Felda Kenanga Jengka 7 dekat sini kagum dengan corak kehidupan masyarakat peneroka yang damai dan harmoni.
Program yang bermula pada 27 November lalu itu memberi peluang kepada mahasiswa mendampingi masyarakat peneroka Felda menjalankan aktiviti harian mereka termasuk di ladang kelapa sawit.
Pengarah Projek Bakti Siswa UIAM, Fadzhil Yahaya berkata, peserta program itu amat teruja dengan cara hidup masyarakat peneroka Felda yang tersusun, cergas dan sentiasa bergotong-royong dalam menjalankan aktiviti seperti kenduri dan program keagamaan di masjid.
"Peserta program ini terdiri daripada penuntut luar seperti dari Somalia, Kenya, Bangladesh, Bosnia, Monaco dan Singapura.
"Mereka seronok mengikut program ini walaupun ia asing dengan budaya hidup mereka.
"Antara aktiviti yang disusun ialah majlis berkhatan beramai-ramai, derma darah, kem Bahasa Inggeris, forum perdana, gotong-royong dan malam kebudayaan yang membabitkan masyarakat setempat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, di sini hari ini.
Beberapa penuntut asing yang ditemui menyifatkan masyarakat peneroka sangat istimewa, berbudi bahasa, pemurah, intelek dan sangat hormat kepada tetamu.
Seorang penuntut, Esma Ramic, 20, dari Bosnia yang mengikuti jurusan Sains Kemanusiaan mengakui sangat teruja mengikuti program itu kerana dapat tinggal bersama keluarga peneroka Felda yang lemah lembut dan berbudi bahasa.
Meskipun wujud masalah komunikasi dan makanan, katanya, ia tidak menjadi alasan untuk menimba banyak pengalaman selama enam hari bersama keluarga Melayu di tanah rancangan itu.
Baginya, peneroka Felda dianggap sama taraf dengan golongan kelas atasan di Bosnia terutama dari segi pendapatan bulanan mereka yang bekerja di ladang kelapa sawit.
"Kerajaan Malaysia sangat bagus kerana utamakan rakyat dalam pelbagai keadaan seperti pendidikan yang sukar diperoleh di kebanyakan negara lain," katanya.
Said Swaleh Said, 20, dari Kenya turut mengakui pengalaman bersama keluarga Melayu memberi makna kepada dirinya terutama dari segi kekuatan ekonomi, perpaduan dan semangat bergotong-royong yang masih utuh.
Dia yang mengikuti pengajian Jurusan Kejuruteraan akan membawa pengalaman menarik di Felda Jengka 7 itu untuk diceritakan kepada masyarakat di negaranya.
Rakannya, Abdullah Mohamad, 20, dari Somalia berkata, peluang mengikuti program bakti siswa seperti itu memberi peluang kepadanya untuk mengetahui lebih dekat struktur masyarakat rakyat Malaysia terutama orang Melayu yang menjadi penduduk pribumi negara ini.
"Sebelum datang ke negara ini sebagai pelajar, saya mengetahui mengenai Malaysia melalui Internet dan bahan bacaan yang banyak menceritakan mengenainya sebagai sebuah negara Islam yang aman damai dan bersatu padu walaupun terdiri daripada masyarakat berbilang kaum," katanya.
Peserta dari Bangladesh, Fahim Sarwary, 20, yang mengambil kursus Sains Komputer juga mengakui sangat beruntung dapat melanjutkan pengajian di Malaysia ketika masih ramai rakannya di negara itu tidak mendapat peluang sebagaimana yang diperolehnya.
Dia berjanji akan membawa pengalaman dan pengetahuan yang diterima di UIAM untuk memajukan masyarakat Bangladesh yang agak ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Penuntut tahun dua Jurusan Kejuruteraan, Abdennour Taidi, 21, dari Monaco berkata, dia dan rakannya banyak menghabis masa terluang untuk meronda sambil berjalan kaki ke sekeliling perkampungan Felda Jengka 7 untuk melihat keindahannya, di samping menyapa penduduk yang sentiasa mengukir senyuman manis.
"Saya mengagumi corak kehidupan masyarakat peneroka Felda yang sangat mementingkan keharmonian dan persahabatan, sekali gus wajar dijadikan contoh kepada masyarakat negara lain," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment