Tuesday, May 3, 2011

Kelapa Haiwan


Kelapa aneh berbentuk haiwan


KUANTAN- “Terkejut saya sebaik sahaja selesai mengupas sebiji kelapa dan membersihkan sabutnya apabila melihat tempurung kelapa tersebut seolah-olah seperti seekor haiwan,” kata Shaiful Khalid, 34, yang tinggal di Tanjung Api di sini.

Shaiful yang baru sahaja membeli beberapa biji kelapa di Bukit Setongkol, Jumaat lalu terus membatalkan niatnya untuk membelah kelapa tersebut sebaliknya menyimpan di rumah.

Menurutnya, pada hari tersebut, mereka sekeluarga teringin makan masak lemak dan berhajat mengambil beberapa kelapa untuk dijadikan santan, namun kejadian aneh ini pula yang berlaku menyebabkan dia membatalkan niatnya itu.

“Sebelum ini saya tidak pernah mengalami situasi seperti ini yang mana membuatkan saya tergamam melihat kelapa tersebut seolah-olah cukup sifat di kepalanya.

“Kelapa itu mempunyai sepasang mata, sepasang telinga, hidung dan mulut dan ia juga dirasakan seperti ‘hidup’ jika dipandang lama-lama,” katanya.

Seterusnya, Shaiful turut membuat bingkai khas untuk letakkan kelapa tersebut dan diletakkan di kedainya untuk berkongsi pendapat dan pengalaman sesiapa yang melihatnya.

Shaiful berkata, lain mata memandang, lain rupa yang dapat diaplikasikan apabila melihat tempurung kelapa tersebut, bagaimanapun, rata-rata yang melihatnya akan berkata ia menyerupai seekor haiwan.

“Ada yang datang kata, ia berbentuk kucing, musang, tikus kerana sifat pada tempurung kelapa tersebut yang seolah-olah sempurna.

“Kadang kala jika ada kanak-kanak yang melihat akan kelapa ini, mereka akan ketakutan kerana ‘matanya’ tajam melihat.

Selain itu, Shaiful mengagumi kebesaran Allah SWT yang boleh menjadikan apa-apa sahaja mengikut kehendak-Nya dan bersyukur apabila turut dipilih melihat kebesaran ini di depan mata sendiri.

Dia turut berhasrat menjual kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk membeli kelapa ini sebagai koleksi sendiri.

“Sesiapa yang berminat untuk memiliki kelapa aneh ini saya sanggup menjualnya kerana saya sendiri tiada kepentingan untuk menyimpannya.

“Memadailah hanya berkesempatan untuk melihat keajaiban ini yang tidak berlaku kepada sesiapa. Jika sebelum ini banyak yang kita dengar mengenai benda pelik ini dan ada hikmah yang berlaku di sebalik kejadian yang berlaku ini untuk pedoman kita semua,” katanya.

Sesiapa yang berminat boleh menghubungi Shaiful di talian 019-9111737 atau 017-9111737.

No comments:

Post a Comment