Wednesday, May 25, 2011

TTPM Salah Tuntut da

Cermin kereta pecah, tuntutan dua beranak ditolak

TANPA disangka, kereta yang diletakkan oleh dua beranak di satu kawasan letak kereta berhampiran hotel penginapan mereka, telah dipecahkan cerminnya.

Dengan anggapan keselamatan kereta itu adalah di bawah tanggungjawab Hotel Sun Inns, Kuala Selangor, Selangor, seorang anak dan bapanya mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Namun nasib tidak berpihak kepada dua beranak tersebut kerana tribunal tersebut menolak tuntutan mereka untuk mendapatkan ganti rugi dari hotel berkenan yang didakwa cuai sehingga menyebabkan cermin kereta mereka pecah.

Presiden TTPM, Mohd. Nasrim Mohd. Salleh memutuskan demikian setelah mendapati tuntutan Yusnazairi Nasir, 35, dan bapanya, Nasir Saan, 60, tidak berasas kerana kereta itu diletakkan di tempat letak kenderaan milik Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), bukan di bawah tanggungjawab hotel berkenaan.

"Kalau penginapan dalam bilik hotel tiada jendela atau pintu tidak berkunci, itu lain. Ini kawasan luar, tempat letak kenderaan di luar dan bukan lot letak kenderaan hotel.

"Kenapa hendak tuduh hotel pula? Saya bersimpati dengan awak tetapi tiada undang-undang mengatakan pihak hotel cuai dan kes ini dibatalkan," katanya.

Semasa prosiding itu, Yusnazairi dan Nasir beberapa kali bertegas bahawa kecuaian itu disebabkan kelemahan kawalan keselamatan di hotel berkenaan.

Mereka mendakwa, walaupun tempat letak kenderaan itu bukan milik hotel berkenaan, pihak pengurusan hotel sepatutnya menjaga harta benda termasuk kereta pelanggannya sebagai tanggungjawab moral.

Namun, Mohd. Nasrim menyatakan bahawa tanggungjawab hotel bermula dari pintu masuk hotel hingga ke bilik sahaja.

"Kalau tahi burung jatuh atas bumbung kereta, adakah pihak hotel akan diminta untuk memasang atap di kawasan letak kenderaan itu? Kalau berlaku kes ragut di luar hotel, adakah hotel juga akan disalahkan?," katanya.

Mohd. Nasrim turut memberi kebebasan kepada dua beranak tersebut untuk memfailkan tuntutan saman ke atas hotel berkenaan di mahkamah sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan beliau.

No comments:

Post a Comment