Tuesday, May 10, 2011

Tiket Bertuah Rugi Ribu2

TTPM arah syarikat elektronik bayar warga emas RM6,900

TAWARAN tiket bertuah dan hadiah percuma sering dijadikan umpan bagi pengguna membeli barang-barang daripada sesebuah syarikat.

Bagaimanapun, masalah akan timbul apabila janji untuk pemberian tiket bertuah dan hadiah percuma itu gagal ditepati, sekali gus menghampakan pembeli.

Itulah yang terjadi kepada seorang warga emas, apabila tidak menerima tiket bertuah dan hadiah percuma seperti yang dijanjikan oleh jurujual setelah membeli tiga produk dari sebuah premis perniagaan elektronik di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Lew Kau, 64, dia membayar sebanyak RM7,103 dengan menggunakan kad kredit untuk membeli barang-barang itu dari syarikat berkenaan setelah digula-gulakan dengan tiket bertuah dan hadiah percuma.

Namun, dia merasa tertipu dan terpedaya apabila janji tersebut gagal ditunaikan menyebabkan dia mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kota Kinabalu.

''Sebagai pengguna, saya mahu menuntut keadilan dan meminta semula bayaran dikenakan memandangkan barangan yang dibeli masih belum dibuka,'' katanya pada prosiding tuntutannya di tribunal tersebut baru-baru ini.

Wakil syarikat tersebut yang hadir pada prosiding itu bagaimanapun menyatakan, tidak wujud unsur paksaan dalam membeli barangan mereka dan warga emas itu turut didakwa secara rela menggunakan kad kredit bagi tujuan pembayaran.

Dalam keputusannya, Presiden TTPM, Datuk Dr. Lawrence S.H Thien berkata, syarikat terbabit tidak seharusnya menggunakan taktik yang mengelirukan dengan janji-janji seperti menawarkan hadiah percuma dan tiket bertuah.

''Setelah meneliti butiran dan keterangan kedua-dua pihak, TTPM mengarahkan agar pihak syarikat membayar ganti rugi RM6,900 dan penuntut diminta mengembalikan semula barang-barang yang telah dibeli,'' katanya.

Beliau membenarkan jumlah ganti rugi tersebut setelah menolak harga pembelian dengan kos kerugian sebanyak RM203 yang terpaksa ditanggung oleh syarikat terbabit.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment