Saturday, May 7, 2011

Pura2 TNB

2 lelaki perdaya 3 suri rumah

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 6 Mei - Dua lelaki dikatakan memperdaya tiga suri rumah dengan menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memeriksa meter elektrik sebelum menyamun mangsa di rumah mereka di Taman Ria Jaya dan Jalan Bakar Sampah di sini semalam.

Kejadian antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 30 hingga 40 tahun kerugian beribu-ribu ringgit apabila barang kemas milik mereka dan sejumlah wang tunai dilarikan kedua-dua suspek.

Ketika insiden, mangsa dikatakan berada dalam rumah sebelum didatangi dua suspek menaiki motosikal yang memakai uniform syarikat berkenaan untuk memeriksa meter di rumah teres mereka itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, suspek kemudian meminta izin untuk masuk ke dalam rumah dan memeriksa sistem pendawaian elektrik.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa, membenarkan suspek masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja masuk, suspek terus mengacu pisau ke arahnya.

"Suspek kemudian menggeledah rumah dan melarikan sejumlah wang tunai dan barang kemas," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Aik Chang, kes berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya dilaporkan di daerah ini.

Beliau berkata, suspek menjadikan golongan suri rumah yang kebanyakan suami mereka keluar bekerja sebagai sasaran.

Kes ini diklasifikasikan sebagai rompakan bersenjata mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi menjejaki suspek, ujarnya.

Tambahnya, hasil maklumat mendapati TNB tidak menghantar kakitangannya untuk menjalankan pemeriksaan meter atau pendawaian elektrik di rumah pelanggan di kawasan sekitar.

"Saya menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang tidak dikenali memasuki rumah mereka," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment