Sunday, May 8, 2011

WIFI Di 2 Kampung

2 kampung jadi Desa WiFi di Bera

BERA 7 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memilih dua kampung di daerah ini iaitu Kampung Batu Papan dan Kampung Guai sebagai ''Desa WiFi'' pada tahun ini.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemudahan itu dibangunkan bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan desa.

''Penduduk di dua kampung ini boleh melayari Internet tanpa menggunakan wayar. Kita berharap penduduk dapat memanfaatkan kemudahan ini," katanya ketika berucap pada majlis Karnival Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di Kampung Batu Papan, dekat sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, kerajaan juga meluluskan pembinaan gelanggang futsal bagi kemudahan golongan belia bersukan di Kampung Batu Papan.

Menurutnya, pembinaan gelanggang yang boleh digunakan pada waktu malam itu akan siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

''Gelanggang tersebut dilengkapi dengan lampu limpah yang membolehkan golongan belia menggunakannya pada waktu malam," katanya.

Selain itu, tambah beliau, pihaknya meluluskan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Kompang Kampung Batu Papan bagi membolehkan persatuan itu menjalankan pelbagai aktiviti.

''Segala kemudahan ini bertujuan menggalakkan golongan belia melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah selain mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan tidak sihat," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak penduduk terus memberi sokongan kepada kerajaan supaya segala perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar.

No comments:

Post a Comment