Friday, May 20, 2011

Pelatih Bomba Wanita Kena Botak


Rambut pelatih bomba wanita dipotong botak


ANAK saya baru-baru ini dipanggil melapor diri sebagai pelatih Penolong Penguasa Bomba di Akademi Bomba dan Penyelamat di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.

Kami sekeluarga begitu teruja apabila anak perempuan kami itu mendapat tawaran tersebut. Beliau baru menamatkan pengajian peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan.

Surat tawaran yang diterima menyatakan bagi pelatih lelaki mereka dikehendaki membawa pakaian sesuai dan rambut harus pendek. Sementara bagi pelatih wanita, mereka dikehendaki membawa baju kurung putih, kain berwarna merun tua, bagi yang beragama Islam tudung hitam serta berkasut hitam. Tiada disebut mengenai soal rambut.

Pada 2 Mei lalu, kami pun bertolaklah bersama-sama anak perempuan kami ke Terengganu dari Kedah dengan penuh harapan.

Sesampainya di akademi itu, arahan-arahan diberikan dan anak saya pun dimasukkan ke dalam kumpulan pelatihnya.

Anak saya kemudian dibawa ke satu tempat dan apa yang mengejutkan saya kemudiannya mendapati rambutnya yang panjang dipotong hampir botak.(Lihat gambar)

Saya sangka rambut itu dipotong pendek seperti pelatih wanita tentera dan polis yang lain, tetapi telah dibotakkan hingga nampak kulit kepala.

Kami semua terkejut dengan langkah yang diambil itu kerana tiada sebarang garis panduan jelas diberikan kepada calon pelatih perempuan atau keluarga mereka semasa surat panggilan lapor diri itu disampaikan.

Oleh kerana terkejut dengan tindakan terlalu drastik itu, kami kemudiannya mengeluarkan beliau daripada latihan itu. Walaupun saya faham itulah latihan yang harus dijalani pelatih beruniform, namun bagi pelatih wanita rambut mereka tidak seharusnya dipotong sebegitu rupa.

Saya berharap surat garis panduan panggilan lapor diri di masa-masa akan datang dapat disediakan dengan lebih telus dan jelas.

BAPA KECEWA
Alor Setar, Kedah.

No comments:

Post a Comment