Friday, May 6, 2011

Ratu Nenek

Peluang nenek jadi ratu cantik pantai

MELAKA 5 Mei - Berita baik buat wanita berusia 50 tahun ke atas dan mempunyai rupa paras yang menarik kerana anda dipelawa menyertai pertandingan Mrs. Evergreen Malacca Beach yang bakal berlangsung di Pantai Klebang Besar di sini pada 19 Jun ini.

Pertandingan kali keempat anjuran Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Melaka itu turut menganjurkan acara Mr. Muscle Beach, Miss Malacca Beach dan Mrs. Fitness yang menyediakan hadiah wang tunai antara RM200 hingga RM1,000.

Presiden persatuan, Datuk Wira Gan Boon Leong berkata, pada acara yang sama tahun lalu, seramai 10 wanita berusia 50 tahun ke atas menyertai pertandingan itu yang menyediakan hadiah wang tunai bagi empat pemenang berjumlah RM800 dan piala.

Bagaimanapun katanya, pertandingan Mrs. Evergreen Malacca Beach akan dibatalkan sekiranya penyertaan tidak mendapat sambutan atau kurang 10 orang mengambil bahagian.

"Kita juga menawarkan wang tunai RM100 untuk diberi kepada peserta wanita yang berminat menyertai pertandingan ini bagi tujuan membeli pakaian untuk acara yang mereka sertai nanti," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Boon Leong, acara Mr. Muscle Beach paling mendapat penyertaan ramai sejak diperkenalkan lebih 50 tahun lalu dan seramai 30 peserta menyertai pertandingan itu tahun lalu.

Menurutnya, hanya peserta yang berasal dari Melaka layak menyertai pertandingan itu, namun bagi acara wanita kategori itu diberi kelonggaran dan terbuka kepada wanita yang bekerja atau belajar di negeri ini.

Menurut Boon Leong, mereka yang berminat berminat menyertai pertandingan itu boleh mendapatkan borang penyertaan daripada pihak urus setia sebelum tarikh tutup pertandingan pada 9 Jun ini dengan menghubungi Patrick Chin di talian 016-6993608 atau 06-2844184, dan Adeline Lee 012-9266908 atau 06-2843104.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment