Saturday, May 21, 2011

Pas Untuik Lakukan Jenayah

Warga Afrika guna pas pelajar laku jenayah?

KUALA LUMPUR 20 Mei - Polis tidak menolak kemungkinan wujud sindiket tertentu melibatkan warga Afrika khususnya Nigeria menggunakan taktik mendapatkan visa pelajar untuk masuk ke negara ini sebelum melakukan jenayah termasuk penipuan Internet.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati rata-rata suspek yang ditahan berhubung kes penipuan Internet memegang visa pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan statistik melibatkan warganegara berkenaan yang ditahan kerana melakukan jenayah itu di negara ini.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau aktiviti penipuan Internet dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kebanyakan mereka yang berjaya ditahan dan diperiksa mempunyai visa pelajar untuk masuk ke Malaysia. Oleh itu, kita sentiasa memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kerugian yang banyak dan mencecah jutaan ringgit.

"Pemantauan yang berterusan sentiasa kita lakukan bersama dengan agensi penguat kuasa yang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, JSJK Bukit Aman berjaya menahan dua lelaki warga Nigeria selepas memperdaya seorang wanita rakyat Taiwan dengan ayat-ayat cinta sehingga mengakibatkan kerugian RM380,000.

Kegiatan suspek terbongkar selepas mangsa berusia 43 tahun datang ke negara ini setelah menyedari dirinya ditipu seterusnya membuat laporan polis di Kedutaan Taiwan di sini, Februari lalu.

Tambah Syed Ismail, pihaknya akan meningkatkan pemantauan dan risikan mengesan individu yang melakukan jenayah penipuan berkenaan di negara ini.

Beliau turut menasihati wanita agar lebih berhati-hati dan tidak mudah memberikan maklumat peribadi kepada individu yang baru dikenali melalui Internet.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment